300 Peserta dari Seluruh Malaysia Sertai K-Novasi 2019 di UKM


Oleh Inaara Aznan

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 24 Januari 2019 –  Kira-kira 300 peserta terdiri daripada pelajar, guru dan pensyarah dari sekolah rendah, sekolah menengah dan Institusi Pendidikan Tinggi dari seluruh Malaysia telah menyertai Karnival Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (K-Novasi P&P) 2019 yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

K-Novasi P&P 2019 menggabungkan karnival inovasi P&P dan kongres P&P di bawah satu penganjuran dengan pelbagai aktiviti telah diadakan.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang dua hari karnival itu berlangsung ialah Bengkel Nano Inovasi P&P, pitching dan pameran idea inovasi peserta dalam menghasilkan P&P yang lebih baik pada masa akan datang.

K-Novasi P&P tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ahli akademik berkaitan teknik atau pendekatan inovasi P&P yang telah terpilih.

Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Hamdi Abd Shukor hadir merasmikan karnival tersebut berharap agar program itu dapat dimanfaatkan di semua peringkat, sama ada peringkat sekolah mahupun IPT.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada setiap kategori yang dipertandingkan.

Sebanyak tiga kategori Pertandingan Inovasi P&P dipertandingkan iaitu Kaedah Pengajaran/ Penyeliaan Pelajar, e-Pembelajaran/ Bahan Bantu Mengajar dan Kaedah Pentaksiran/ Penilaian Interaktif.