300,000 Permohonan Masuk ke Universiti

1

Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 14 April 2016 – Unit Pusat Universiti (UPU) telah menerima kira-kira 300,000 permohonan daripada pelajar untuk kemasukan ke universiti bagi sesi akademik 2016/2017 sejak permohonan dibuka pada bulan Januari lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata daripada jumlah itu, kira-kira 60,000 tempat sahaja yang ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang layak untuk sesi kemasukan akan datang.

Tambah beliau, Kementerian telah menganjur program Jom Masuk IPT yang diadakan di enam zon di seluruh Malaysia sejak Januari lepas untuk memberi pendedahan yang luas kepada pelajar-pelajar dalam membuat pilihan untuk melanjutkan pelajaran.

“Kita telah menerima lebih 200,000 pengunjung dari seluruh negara yang datang ke karnival ini di lima zon iaitu zon Kedah, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Zon terakhir adalah Selangor dan akan diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM).

“Seramai 60,000 pengunjung dijangka akan memeriahkan carnival tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Pendidikan Tinggi: Soaring Upwards 2016 dan Perasmian Penutup Program Jom Masuk IPT di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa Kementerian akan mengkaji dan akan membuat penambahbaikan penggunaan Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) tahun depan berikutan kajian yang menunjukkan terdapat penyalahgunaan BB1M.  ukmnewsportal-bm

2

3