400 Pelajar Baharu Pengambilan Kedua UKM Lafaz Ikrar

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman dan Aiman Sidiq Abdullah

BANGI, 21 Sept 2015 – Kira-kira 400 pelajar baharu pengambilan kedua Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi 2015/2016 melafaz ikrar dan berjanji tidak mensia-siakan peluang yang diberi sebagai seorang mahasiswa.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata para pelajar perlu tahu matlamat mereka apabila menjadi mahasiswa.

“Mereka (pelajar) perlu memahami matlamat mereka dan matlamat universiti. Mereka mempunyai matlamat masing-masing dalam kehidupan dan kerjaya, ada amanah dan harapan yang diberi oleh ibu bapa dan kaum keluarga tetapi universiti ini juga mempunyai harapan, visi dan matlamat yang perlu dicapai.

“Jadi amat penting kerana institusi ini adalah sebuah institusi yang mempunyai satu kelainan yang amat sangat. Setiap daripada mereka mesti faham bahawa universiti ini mempunyai sejarah penubuhan dan peranan tersendiri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ikrar Pelajar Baharu Pengambilan Kedua UKM sesi 2015/2016 di sini hari ini.

Beliau berkata ikrar itu penting bagi mereka memahami bahawa tuntutan ke atas graduan hari ini seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak pada April lepas.

Turut hadir pada majlis ikrar tersebut Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan, dan pengurusan tertinggi universiti.

Ikrar yang dibaca di hadapan Prof Noor Azlan Ghazali dan pengurusan tertinggi universiti telah diketuai oleh Ding Chin Wei.ukmnewsportal-bm
6

2

3

4

5