42 Pelajar KGPN Terima Anugerah Sijil GENIUS@Pintar High School Diploma


Oleh Nur Batrisyia
Foto Izwan Azman

BANGI, 23 Julai 2021 – Seramai 42 orang pelajar Kolej GENIUS@Pintar Negara (KGPN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menamatkan pengajian di kolej tersebut telah menerima penganugerahan Sijil GENIUS@Pintar High School Diploma (HSD) pada majlis Majlis Graduasi KGPN UKM Ke-9.

Pada majlis graduasi tersebut, tiga anugerah iaitu Anugerah Pengarah, Anugerah Khas dan Anugerah Tertinggi telah diberikan kepada pelajar terpilih yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam semua bidang.

Anugerah Pengarah diberikan kepada 14 graduan yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.67 dan ke atas, manakala, Anugerah Khas diberikan kepada pelajar yang mencapai kecemerlangan dengan memperlihatkan ketinggian sahsiah yang terpuji, mempunyai semangat kepimpinan yang tinggi, mendapat keputusan yang cemerlang dalam akademik dan mendapat pengiktirafan sebagai pelajar terbaik keseluruhan sepanjang mengikuti pengajian daripada Asas 1 hingga ke Tahap 2.

Senarai Anugerah Khas yang diberikan adalah Anugerah Sahsiah Terpuji, Anugerah Kokurikulum, Anugerah Kepimpinan, dan Anugerah Akademik.

Anugerah Tertinggi pula telah diberikan kepada Harun Azhar atas kecemerlangan yang ditonjolkan oleh beliau sepanjang di KGPN. Penganugerahan itu telah melayakkan beliau menerima sijil penghargaan, wang tunai RM300 dan sejambak bunga.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim berkata kejayaan para pelajar tersebut telah membuktikan kejayaan UKM melaksanakan Program Pendidikan Pintar dan Berbakat yang telah bermula sejak tahun 2009.

“Sehingga kini, saya difahamkan seramai 752 orang graduan telah berjaya menamatkan pengajian melalui program Pendidikan Pintar dan Berbakat dengan menerima Sijil HSD,” katanya.

Beliau berkata UKM akan terus menyokong pelaksanaan Program Pendidikan Pintar dan Berbakat melalui program pemerkasaan berdasarkan kerangka T.E.R.A.S UKM yang menjadi lembayung universiti.

“Kerangka TERAS ini merangkumi lima nilai utama iaitu Talent (Bakat), Ethics (Etika), Revitalise (Memperkasa), Agile (Tangkas) dan Soul (Jiwa) untuk memastikan pusat ini (Pusat GENIUS@Pintar Negara) kekal relevan dalam melahirkan graduan pintar dan berbakat serta menjadi sebagai pusat penyelidikan dan rujukan bidang pendidikan pintar dan berbakat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat GENIUS@Pintar Negara, Prof. Madya Dr. Rorlinda Yusof berkata penganjuran majlis itu bertujuan untuk menyuntik motivasi sebagai perangsang dan titipan ingatan agar para pelajar akan terus membina kecekapan diri dari kedua-dua aspek iaitu kecekapan intelek dan keterampilan sahsiah.

“Saya yakin anda akan menjadi insan cemerlang yang beradab cermat, pemikir kreatif yang inovatif, pengamal nilai yang beretika, mantap jiwa dan teguh berjati diri.

“Bina diri dan sumbangkan bakti untuk kemaslahatan ummah sejagat demi kejayaan di dunia hingga ke akhirat,” katanya.

Majlis yang diadakan secara dalam talian melalui platform Zoom turut dihadiri oleh Setiausaha Bahagian Bahagian GENIUS, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr. Noraisah Spahat, para penaja, ibu bapa dan graduan.