60 Pasukan Beregu Lelaki Berentap di Kejohanan Badminton HASCUP 2019


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 12 Mac 2019 – Sebanyak 60 pasukan badminton beregu lelaki telah berentap di kejohanan badminton bagi merebut Piala Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (HASCUP) 2019 yang diadakan di Dewan Besar Kolej Keris Mas (KKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Kejohanan yang diadakan selama dua hari, iaitu 9 dan 10 Mac lalu menyaksikan pasukan dari Kelab Badminton VSmash, Kuchai Lama telah menjadi johan setelah mengenepikan pasukan dari Kelab Badmintin HSBA, Kuala Lumpur.

Kejohanan kali ke-5 itu telah dihadiri oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang merupakan penasihat untuk kejohanan HASCUP.

“Kita memang menggalakkan masyarakat aktif bersukan termasuk bermain badminton dalam mengamalkan gaya hidup sihat. Saya berharap kejohanan ini akan terus diadakan pada tahun-tahun akan datang dan penyertaannya turut dibuka kepada pemain-pemain wanita,” kata Tun Dr. Siti Hasmah.

Kejohanan yang dianjurkan oleh KKM itu telah dihadiri oleh ikon badminton negara, Hafiz Hashim.  Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Roslee Rajikan yang turut meluangkan masa menyaksikan pertandingan akhir Kejohanan HASCUP 2019.