6,166 Graduan UKM Terima Ijazah pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-48 Secara Fizikal


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 3 April 2021 – Seramai 6,166 graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-48 yang akan diadakan secara fizikal bermula 3 hingga 12 April 2021 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman berkata Mesyuarat Khas Majlis Konvokesyen UKM Ke-48 telah bersetuju untuk mengadakan majlis konvokesyen sebanyak 10 sidang secara bersemuka atau fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Keputusan ini dibuat bagi menyantuni permintaan para graduan yang menamatkan pengajian pada tahun 2020 untuk bergraduasi secara bersemuka,” katanya.

Selain itu, katanya, memandangkan Negeri Selangor berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan majlis dianjurkan dengan kapasiti 50 peratus ruang, UKM mematuhi peraturan ini dengan hanya menggunakan kapasiti 25 peratus daripada ruang dewan yang boleh memuatkan 4,000 orang pada satu-satu masa.

Oleh itu, hanya bakal graduan sahaja dibenarkan untuk berada di dalam dewan DECTAR tanpa ditemani oleh ibu, bapa atau keluarga. Para ibu, bapa dan keluarga yang mengiringi dan menghantar graduan tidak dibenarkan berada di sekitar dewan DECTAR, sebaliknya digalakkan menunggu di luar kampus UKM sebelum masuk semula ke kampus apabila majlis selesai.

Walau bagaimanapun, mereka masih boleh menonton Majlis Konvokesyen secara langsung melalui saluran media sosial rasmi UKM, https://www.facebook.com/UKMOfficial serta saluran

Youtube, https://live.ukm.my. Pautan siaran langsung juga boleh diperolehi dari Laman Web Rasmi Konvokesyen, www.ukm.my/konvo.

Semua graduan, ahli akademik dan petugas yang berada di dalam dewan perlu mengekalkan pemakaian pelitup muka sepanjang masa termasuk ketika mengambil skrol di atas pentas.

“Semua graduan dan urus setia perlu mengisi “Borang Pengisytiharan Kesihatan/Health Declaration Form (HDF)” sebelum dibenarkan hadir ke majlis konvokesyen. Mereka yang suhunya melebihi 37.5 oC dan bergelaja akan dirujuk kepada Pusat Kesihatan Universiti untuk penilaian risiko sebelum dibenarkan meneruskan konvokesyen,” jelasnya.

Beliau berkata UKM hanya melaksanakan majlis konvokesyen dengan satu sidang sahaja untuk satu hari, iaitu disebelah pagi dengan tempoh masa maksimum setiap sidang adalah 3 jam bagi mengelakkan pertembungan sekiranya diadakan dua sidang pada satu hari.

Sepanjang majlis berlangsung, katanya, tidak ada sebarang karnival konvokesyen diadakan di luar dewan.

“Pihak Jawatankuasa Tindakan Krisis UKM: Kategori Penyakit Berjangkit telah menyediakan SOP Am Pelaksanaan Norma Baharu Majlis Konvokesyen UKM dan Soalan Lazim (FAQ) rasmi berkaitan pelaksanaan majlis bagi rujukan para graduan yang boleh dicapai melalui laman web https://www.ukm.my/konvo/en/.

“Graduan yang memerlukan isolasi dan penginapan akan dibantu oleh pihak kolej kediaman. Mereka akan ditempatkan di penempatan yang berasingan dengan pelajar semasa yang telah berada di kolej kediaman,” katanya.

Melalui pemakluman terkini, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tiada halangan terhadap pelaksanaan Majlis Konvokesyen UKM Ke-48 dengan mengambil kira persediaan pihak UKM dalam mematuhi SOP yang ditetapkan serta arahan semasa oleh MKN dan KKM, katanya.