74 Pesara UKM Dirai


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 4 Julai 2019 – Seramai 74 pesara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bersara bermula Januari 2019 hingga Jun 2019 diraikan dalam suasana yang santai dan meriah bagi menghargai jasa mereka sepanjang berkhidmat di universiti itu.

Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, walaupun majlis yang diadakan itu agak ringkas, tetapi beliau berharap ia dapat memberi makna yang mendalam kepada semua yang hadir.

“Anda semua telah banyak menyumbang khidmat kepada UKM. Banyak kenangan pahit dan manis yang anda telah rasa sepanjang perkhidmatan di sini. Itu sudah tentu perasaan dan kenangan yang unik untuk anda kenang selepas ini.

“Terima kasih kepada semua yang telah menyumbang bakti dan buah fikiran sepanjang berkhidmat di UKM. Walaupun anda telah bersara, tetapi saya yakin anda masih lagi mahu memberi bakti dan tenaga di sini dalam memastikan UKM sentiasa terkehadapan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sanjungan Budi Pesara UKM 2019 di Persada, bngunn Pentadbiran di sini.

Katanya, beliau bagi pihak pengurusan UKM amat menghargai segala khidmat bakti yang telah diberikan oleh semua kakitangan UKM dalam memastikan universiti sentiasa dihormati dan dikenali.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Persatuan Pesara UKM, Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengarah Pentadbiran dan Pegawai Kanan Universiti.