87 Pelajar FSK Jalani Kuarantin 14 Hari Sebelum Memulakan Latihan Klinikal

Oleh Asmahanim Amir

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 16 November 2020 – Seramai 87 pelajar dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK) menjalani kuarantin selama 14 hari di kampus induk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula hari ini sebelum menjalani latihan klinikal pada awal Disember nanti.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim berkata kuarantin itu perlu kerana ia adalah salah satu prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti oleh pelajar yang hadir ke kampus.

“Selepas mendapat kebenaran dari KPT (Kementerian Pengajian Tinggi), kita membenarkan pelajar-pelajar ini hadir ke kampus kerana mereka perlu menjalani latihan klinikal.

“Mereka juga perlu mengikuti semua SOP yang ditetapkan sepanjang berada di kolej ini,” katanya semasa melawat kehadiran pelajar di Kolej Dato’ Onn (KDO), di sini hari ini.

Beliau berkata kuarantin tersebut bukanlah kuarantin yang straight seperti yang dibuat oleh KKM, tetapi kuarantin itu lebih kepada mengawal pergerakan pelajar.

“Pelajar-pelajar tidak dibenarkan untuk keluar dari blok kolej ini. Semua makanan perlu dibuat melalui pesanan online dan pihak kafeteria akan menghantar makanan tersebut ke kolej.

“Kita tidak mahu pelajar-pelajar keluar dari blok penginapan walaupun ke kafetria kolej kerana kita mahu mencegah dari berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar Program Sains Pertuturan, Neoh Zhi Jia berkata beliau akur dengan arahan kuarantin yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan universiti bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Saya dari kawasan merah, jadi kuarantin ini perlu bagi memastikan semua yang hadir berada pada tahap kesihatan yang baik,” katanya.

Bagi Anis Syazwani Zakaria pula, dia berasa agak sedih memikirkan keadaannya sepanjang kuarantin di kolej itu.

“Walaupun sedih, saya perlu akur dengan arahan ini demi kesihatan semua. Saya berharap agar semuanya baik-baik sahaja dan apa yang penting adalah capaian internet di kolej ini berada pada tahap yang baik kerana kami perlu mengikuti kelas online seperti biasa sebelum memulakan latihan klinikal bersemuka pada awal Disember nanti,” katanya yang datang dari Ipoh.

87 pelajar tersebut ditempatkan di dua kolej iaitu 50 di KDO dan selebihnya di Kolej Ungku Omar.