87 Pusat Tanggungjawab UKM Terima Buku Pelan Strategik UKM 2019-2021


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 30 September 2019 – Buku Pelan Strategik UKM 2019-2021, adalah dokumen rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang digubal berasaskan pencapaian semasa serta mengambil kira sekitaran setempat dan global dengan pelbagai tuntutan dan realiti perubahan masyarakat, telah diedarkan kepada 87 Pusat Tanggungjawab (PTJ), baru-baru ini.

Pada majlis penyerahan buku itu di Bilik Senat, Bangunan Pentadbiran, Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, semua PTJ perlu komited dalam memberi kerjasama kepada Pelan Strategik tersebut dan perlu merancang dalam peringkat PTJ masing-masing.

“Sebahagian daripada PTJ telah membuat perancangan strategik berdasarkan lima teras utama dan 18 inisiatif yang telah digariskan, namun mungkin ada dalam kalangan PTJ lain yang belum melaksanakannya lagi,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Pelan Strategik UKM 2019-2021.

Beliau berharap, semua PTJ dapat memberi kerjasama yang baik kerana ia adalah matlamat seluruh warga UKM.

Prof Ir Dr  Mohd Hamdi juga yakin pada hasrat dan matlamat yang telah dirancang untuk tempoh tiga tahun ini dapat dicapai jika warga UKM dapat melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh.

Pelan Strategik UKM 2019-2021 yang berkonsepkan House of Quality menggariskan lima teras utama iaitu Penyelidikan, Akademik, Antarabangsa, Bakat dan Kewangan.

Dalam lima teras itu pula mengandungi 18 strategi yang menjadi fokus bagi mencapai kebitaraan UKM dengan beberapa inisiatif yang telah dikenal pasti untuk kegemilangan UKM.