Perlu Buka Taska Di Tempat Kerja Untuk Galakkan Wanita Bekerja – PM

memorandumOleh Asmahanim Amir
Foto Shahidan Saidi

PUTRAJAYA, 25 Mei 2015 – Sektor swasta dan awam mungkin diwajib menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak atau Taska di tempat kerja sebagai galakkan kepada ibu yang be­kerja.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata langkah itu perlu bagi membolehkan negara mencapai 59 peratus tenaga wanita dalam pasaran pekerjaan di negara ini.

“Kita harap usaha dan langkah kerajaan bagi mewujudkan taska di tempat kerja membolehkan wanita terpanggil untuk bekerja,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Univiersiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Pejabat Penasihat Pembangunan Wanita, Iktisas dan Keusahawanan (KIW) Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada 22 Mei lepas.

Pada majlis itu, KIW diwakili  Penasihatnya, Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil manakala UKM diwakili oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang dibentangkannya pada 21 Mei lepas, beberapa inisiatif utama adalah melibatkan peranan wanita.

“Antaranya ialah kita nak mencapai sasaran 30 peratus wanita dalam peringkat membuat keputusan di sektor perkhidmatan awam,” katanya.

Najib berkata negara telah pun mencapai 34 peratus wanita yang memegang  Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) C.

“Sekarang, kita dalam usaha untuk menempatkan golongan wanita yang layak untuk menduduki senarai ahli lembaga pengarah kerana kita inginkan wanita berkenaan menyumbangkan kepakaran mereka dalam kendalian syarikat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata KIW di bawah JPM telah melatih 900 pekerja wanita yang berpotensi untuk menjadi ahli lembaga pengarah.

Selain itu, kerajaan juga mahu melihat kaum wanita menceburi bidang keusahawanan dan mencapai kejayaan bukan sahaja di peringkat tempatan malah di peringkat yang lebih besar.

“Kita mahu tingkatkan dari usahawan industri kecil dan sederhana (SME) ke peringkat yang lebih besar dan seterusnya menjadi juara rantau dan global,” katanya.

Sementara itu, Shahrizat berkata MoU itu merupakan inisiatif KIW untuk mewujudkan asas kerjasama dan usahasama melalui satu perkongsian bijak untuk memacu usahawan dan wanita professional ke satu tahap yang lebih tinggi dengan memberi pendedahan terhadap konsep, teknik, dan ideologi terbaru yang lebih berinovatif.

“Kerjasama antara KIW-UKM akan bertumpu kepada kerja-kerja mengkaji dan mengenal pasti kaedah-kaedah bersesuaian dalam memperkasa kapasiti pemikiran golongan professional dan keusahawanan.

“Antaranya termasuklah merancang dan merangka program dan latihan terkini yang diperlukan oleh kumpulan sasar menerusi pembangunan modul, penyelidikan, khidmat komuniti, konsultansi dan pelbagai bidang yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata dua bidang di bawah KIW iaitu keusahawanan dan wanita profesional akan menjalankan tugas dan tanggungjawab yang lebih bermakna untuk menjayakan RMK-11.

“Saya harap selepas ini apa jua maklum balas yang diberikan kepada JPM akan dapat memberi perisian yang terbaik,” tambah beliau.