Agenda Ekonomi Perlu Ambil Kira Semua Pihak


Oleh Santhiyah Chandran
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, September 20, 2021 – Ketika Malaysia masih berdepan dengan krisis kesihatan yang dibawa oleh pandemik Covid-19, negara kita juga tidak terlepas dari krisis yang kian meruncing iaitu krisis politik dan ekonomi.

Pengarah Eksekutif Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata dalam menangani krisis ekonomi, penyediaan dan perancangan bajet merupakan satu perkara yang harus diambil kira setiap tahun kerana ia memberi gambaran masa hadapan negara.

“Bagi saya, bajet tahun ini lebih menumpukan kepada pemulihan iaitu ‘recovery of injured groups’ dan kita tidak boleh menafikan bahawa semua lapisan masyarakat mengalami krisis mereka tersendiri termasuklah kumpulan M40 dan T20,” katanya.

Prof Tan Sri Dr Noor Azlan yang juga merupakan mantan Naib Canselor UKM  turut menyatakan bahawa bajet 2022 tidak seharusnya tertumpu kepada golongan yang berpendapat rendah (B40) sahaja tetapi turut memberi fokus kepada kelas pendapatan yang lain.

“Proses pemulihan ini mestilah memberikan kebaikan dalam jangka masa panjang,” tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Persidangan Meja Bulat (RTD) berkenaan Bajet 2022: Pemangkin Pemulihan dan Pembaharuan Ekonomi Malaysia? pada Platform Forum Ekonomi Malaysia anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui aplikasi Zoom.

Penganjuran program ini bertujuan untuk mengangkat pemikiran ahli akademik dalam bidang ekonomi dan pengurusan ke saluran yang sepatutnya khususnya Kementerian Kewangan untuk Bajet 2022.

Sesi persidangan tersebut menampilkan ahli ekonomi tersohor yang terdiri daripada golongan alumni khususnya dari program ekonomi, perniagaan, pengurusan dan perakaunan semenjak penubuhan UKM.

Program tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato Seri Mohd Zuki Ali, yang juga merupakan salah seorang alumni tersohor dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM.

Dalam ucapannya, Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Dr. Ts Ekhwan Toriman berharap kerjasama dalam hubungan industri dan alumni ini dapat memberi impak positif dalam agenda UKM untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Pihak alumni juga boleh berkongsi dengan mahasiswa UKM tentang pengalaman kerjaya serta perkembangan ilmu dalam industri semasa.

“Gabungan antara teori dan amal yang didapati daripada perkongsian pengalaman alumni akan membantu perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan universiti, seperti mana yang termaktub dalam Falsafah UKM,” katanya.