Ahli Akademik Fakulti Pengajian Islam Hasilkan 40 Buah Buku Melalui Penerbit UKM

Oleh Nur Batrisyia
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 3 Mei 2021 – Sebanyak 40 buah buku berasaskan kajian ilmiah telah diterbitkan oleh Penerbit UKM melalui hasil penulisan dan suntingan para akademia Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Buku-buku tersebut telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof, pada Majlis Pelancaran 40 Buku Penerbit UKM, baru-baru ini.

Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, penghasilan buku-buku itu secara tidak langsung mampu mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam membantu kerajaan melakukan kajian yang melibatkan dasar negara.

“Kerajaan sememangnya tidak akan mampu mencapai kejayaan tanpa wujudnya kumpulan penasihat dan penyelidik daripada Institusi Pengajian Tinggi seperti UKM. Atas dasar itu, saya mewakili kerajaan akan sentisa mengalu-alukan nasihat dan cadangan daripada ahli akademik,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Malaysia sangat mengalu-alukan kerjasama penyelidikan yang membabitkan portfolio agensi-agensi di bawah kementerian bagi tujuan untuk membantu pihak kerajaan membentuk dasar-dasar dan polisi yang berkualiti.

“Perkara ini dapat dibuktikan apabila pihak Fakulti Pengajian Islam UKM telah berjaya membantu kerajaan sama ada kerajaan persekutuan atau negeri dalam menghasilkan pelbagai dasar, polisi dan fatwa yang sangat berguna untuk rakyat Malaysia,” ujarnya

Beliau berkata pihak kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan dana penyelidikan menerusi kementerian-kementerian bagi memastikan penyelidikan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi berjalan dengan baik.

Katanya, melalui penyelidikan dan penulisan-penulisan ilmiah itu, beliau yakin dengan suntikan ilmu, negara mampu membangun dan melakukan penambahbaikan terhadap sosioekonomi rakyat secara bersama.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata universiti amat mengalakkan penulisan artikel jurnal, buku penyelidikan, penulisan akhbar dan sebagainya bagi membuka ruang kepada aliran pengetahuan masyarakat.

“Saya berharap tulisan dalam buku-buku yang dilancarkan pada hari ini dapat membentuk fikiran dan menyentuh sanubari nusa bangsa kita, agar menjadi bangsa membangun dalam aspek intelek, emosi, spiritual, kemahiran dan lain-lain,” katanya.

Beliau juga berharap akan ada lebih banyak hasil penyelidikan dan kandungan ilmu Islam dapat disumbangkan untuk kebaikan masyarakat.