Alumni Perlu Terus Terlibat dengan Aktiviti di Kampus – Timb. Menteri Pendidikan


Oleh: Tiew Xi Yuan

BANGI, 22 Mac 2017 – Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diseru agar meneruskan usaha untuk menganjurkan aktiviti di alma mater kerana ia dapat membantu anak muda mengenali bangsa lain dengan lebih rapat di samping meningkatkan semangat kepimpinan mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ketua Pemuda MCA, Senator Datuk Chong Sin Woon berkata, alumni UKM perlu terus memberi sokongan terhadap aktiviti kampus yang dapat mengeratkan hubungan antara alumni dan warga universiti.

Beliau berkata demikian ketika manyampaikan ucapan pada Majlis Persembahan Kebudayaan Satu Malaysia yang dianjurkan oleh Sekretariat Pesta Ang Pow baru – baru ini.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan tajaan sebanyak RM10,000 kepada Sekretariat Pesta Ang Pow.

Majlis makan malam yang berkonsepkan makan besar kaum Cina itu memilih tema ‘Warisan Kebudayaan’ yang bermaksud generasi baru tetap akan mengekalkan kebudayaan  etnik Cina meskipun mengalami perubahan teknologi yang pesat.

Majlis makan malam itu bertujuan mengukuhkan pemahaman budaya Tiong Hua secara turun-temurun agar sentiasa diingati oleh generasi akan datang.

Hampir seribu orang hadir ke majlis tersebut yang terdiri daripada alumni UKM, pelajar dan pihak luar termasuk pelajar dari universiti lain.

Turut hadir ialah Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali dan Pengarah Pusat Pembangunan Mahasiswa dan Perhubungan Alumni UKM, Prof Madya Dr Roslee Rajikan.