Alumni UKM Bantu Masyarakat B40 di Lanchang


Oleh
Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman
Foto Arkib Alumni UKM

LANCHANG, 21 Februari 2022 – Alumni UKM turun lagi ke persada masyarakat bagi membantu dan menyantuni mereka sejajar dengan aspirasi UKM sebagai sebuah universiti watan. Sebanyak 200 buah beg sekolah berserta alat tulis telah disumbangkan kepada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Lancang untuk diberikan kepada pelajar-pelajar dari keluarga B40 khususnya yang terkesan dengan banjir baru-baru ini.

Selain itu, misi kali ini diteruskan dengan agihan kotak makanan termasuk beras serta barangan keperluan lain kepada masyarakat di kawasan ini. Setiap keluarga menerima sumbangan ini sebagai tanda prihatinnya UKM dan alumni akan kesukaran era pasca banjir yang melanda masyarakat khususnya yang tinggal di kampung. Alumni UKM turut menyumbang 100 pek ujian COVID10 kepada dua Maahad Tahfiz di daerah ini.

Misi ini turut dibantu oleh alumni-alumni UKM yang tinggal di kawasan itu khususnya dalam kerja agihan kepada penduduk yang terkesan. Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman, ini merupakan kali kedua mereka tiba di Lanchang, Mentakab, dan Temerloh bagi membantu masyarakat yang turut disertai oleh alumni UKM di sini.

“UKM mempunyai ‘hutang jasa’ yang besar kepada masyarakat kerana UKM bermula atas aspirasi dan desakan rakyat. Daripada masyarakat kami bermula dan kepada mereka jugalah bakti dan manfaat perlu dikembalikan semula. Hutang ini wujud berkekalan dan menjadi tanggung jawab kami warga dan alumni UKM untuk membayarnya,” kata Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman.

Misi Bantuan Kasih (MBK) 8.0 Mentakab ini merupakan anjuran Pusat Perhubungan Alumni, Medical Mythbuster Malaysia, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTADI) dan Kelab Sukan & Kebajikan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (KESUTRA).

MBK ini merupakan salah satu inisiatif UKM untuk menyantuni, membantu dan menjiwai masyarakat supaya universiti ini sentiasa berada dihati mereka. Sebelum ini MBK telah bergerak di beberapa lokasi seperti Kelantan, Pahang, Selangor dan Perak.

Sehingga kini UKM telah membelanjakan sebanyak RM250,000 untuk merealisasikan hasrat ini. Kutipan ini adalah daripada alumni, warga dan sahabat UKM yang diterajui oleh Pusat Perhubungan Alumni UKM.