Amanat Naib Canselor UKM Kepada Majlis Eksekutif Pelajar


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 20 Ogos 2021 –  Kolej Akademia memainkan peranan yang penting dalam membangunkan kemahiran pelajar di luar bilik kuliah bagi membentuk mahasiswa yang cemerlang dan holistik.

Amanat tersebut disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman kepada 173 Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) yang akan dilantik pada Sesi 2021/2022.

Majlis Amanat Naib Canselor dan Dialog TERAS Kolej Akademia merupakan anjuran Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP UKM) yang diadakan secara dalam talian melalui pelantar Zoom.

Pada majlis tersebut beliau turut menyatakan penghargaan kepada mantan ahli MEP sesi 2020/2021 atas pengorbanan yang telah dicurahkan kepada pihak pengurusan dan para pelajar di kolej kediaman.

“Mahasiswa yang terpilih menjadi ahli MEP pada sesi ini perlu sentiasa mempelajari dan mendapatkan pengalaman berkaitan dengan pengurusan aktiviti dan selok belok hal ehwal kolej kediaman daripada barisan MEP sesi lepas dan pentadbiran kolej khususnya ayahanda dan bonda pengetua serta felo.

“Selain itu, MEP juga bukan sahaja perlu menumpukan perhatian kepada hal ehwal kebajikan pelajar di kolej sahaja, malah mereka juga perlu menjadi penggerak dan ikon kepada mahasiswa khususnya dari segi pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah,” katanya.

Menurut beliau, penglibatan dalam organisasi MEP ini juga dapat memberi pendedahan terhadap nilai pemerkasa yang selari dengan elemen TERAS yang dapat menjadikan mahasiswa sebagai seorang pemimpin hebat dan unggul dalam melakukan sesuatu tugasan.

“Banyak perkara yang dapat diaplikasikan di peringkat pekerjaan nanti melalui pengalaman yang telah diperolehi semasa terlibat dalam sesebuah organisasi di peringkat universiti.

“Kita juga dapat melihat elemen kepimpinan dicungkil dan digilap dalam konsep TERAS ini di mana setiap ciri-ciri kepimpinan efektif dan berkesan dapat digembleng ke arah pencapaian matlamat sesebuah organisasi itu.

“Setiap warga UKM termasuk mahasiswa perlu lebih kreatif dan inovatif bagi memastikan indikator TERAS ini dapat dijayakan dan kelestariannya terpelihara dalam apa juga situasi,” tambah beliau.

Sebelum mengakhiri amanat beliau, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan menyatakan harapan beliau kepada MEP yang baharu dapat menjalankan tugas dan menggalas amanah dengan sebaik mungkin.

Majlis turut disempurnakan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Prof Ir. Dato’ Dr. Othman A. Karim, Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar Prof. Madya Dr. Roslee Rajikan serta pengetua-pengetua Kolej Kediaman UKM.