Anak Syarikat UKM Perlu Berdikari

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

UKM’s Private Entities Told To Be More Financially IndependentKUALA LUMPUR, 7 Mac 2015 – Entiti perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia perlu mencari jalan untuk mengembangkan perniagaan mereka sendiri supaya tidak terlalu bergantung kepada UKM.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata apabila telah mencatat keuntungan mereka tidak lagi perlu meminta dana dari UKM.

Bercakap dalam suatu sesi dialog dengan pengurusan, konsultan dan kakitangan Pusat Pakar UKM (UKMSC) di sini hari ini, Prof Noor Azlan berkata pusat itu perlu menetapkan misi sebenarnya sebagai suatu badan yang menjadi sebahagian daripada institusi awam.

Sesuatu perniagaan tidak boleh hidup hanya untuk membuat wang. Ia mesti mempunyai hala tuju dan tidak harus terlalu mengharapkan subsidi dari UKM, sebuah institusi awam, katanya pada sesi dialog sempena majlis apresiasi konsultan  yang dianjurkan oleh UKMSC untuk memberi penghargaan kepada perunding pakarnya.

UKM dan UKMSC adalah rakan kongsi Awam-Swasta yang mana universiti tidak memberi subsidi perniagaan.

Beliau berkata pendekatan bahawa mereka hanya boleh beroperasi jika mempunyai sumber kewangan yang cukup tidak harus di dokong.

UKMSC perlu mencari dana sendiri untuk perbelanjaannya kerana era universiti awam telah berubah dan mungkin akan terus berubah hinggakan apa yang dianggap perkara biasa akan bertukar sama sekali untuk menjadi sebuah universiti keusahawanan.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif UKMSC Abdul Ghani Bin Pakir Mohamed, Pengerusi Lembaga UKMSC Prof Dr Nor Ghani Md Nor dan para konsultan telah merayu UKM menyediakan lebih banyak katil dan kemudahan asas lain, walaupun pusat pakar itu telah mencatat keuntungan.

Pada sesi itu, para doktor merungut kepada Naib Canselor bagaimana mereka perlukan sebuah bangunan baru dan penambahan katil selain gaji dibayar lambat serta aduan mereka, sebagai perunding, dikenakan caj sewa yang tinggi.

Ditubuhkan pada tahun 1999 sebagai suatu Kompleks Rawatan Khas di bawah pengurusan Hospital UKM, UKMSC sejak 2001 telah diuruskan sepenuhnya oleh UKM Kesihatan Sdn Bhd. UKMSC mula beroperasi sebagai pusat perubatan swasta pada 22 April 2003, selepas mendapat lesen operasi daripada Kementerian Kesihatan.

Antara perkhidmatan pakar yang ditawarkan adalah kardiologi, dermatologi, gastroenterologi, gerontologi, hematologi, nefrologi, urologi dan sakit puan.

Ia juga melakukan pembedahan rumit, pembedahan plastik dan implan koklea.
ukmnewsportal-bm