Apakah Perpustakaan Masa Depan Tiada Buku?

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto: Shahiddan Saidi

BANGI, 13 Jun 2016 – Perpustakaan sebagai gudang maklumat tetap wujud pada masa hadapan, tetapi ia sangat berbeza daripada  gedung buku yang kini wujud, kata Pengerusi Yayasan Mahkota Tan Sri Datuk Dr Kamal Salih.

Profesor Adjung Ekonomi dan Pengajian Pembangunan di Universiti Malaya itu berkata, beliau yakin perpustakaan tidak akan pupus, walaupun pada masa kini terdapat krisis membaca buku.

“Perpustakaan masa depan tidak akan kelihatan seperti mana-mana perpustakaan hari ini. Ia akan kelihatan lebih seperti hab pengangkutan yang selesa atau ruang istirahat lapangan terbang dengan tingkap-tingkap besar dan tiada buku-buku kelihatan,” katanya dalam syarahannya di Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)) di sini pada 19 Mei lalu.

Beliau berkata dalam zaman ledakan maklumat, perpustakaan seolah-olah menjadi ketinggalan zaman dan kurang menarik kepada mereka yang pintar teknologi maklumat.

“Dalam usaha untuk menjadi keterhadapan,  perpustakaan perlu berubah dan menyediakan akses dalam talian kepada semua orang dalam suasana santai dan selesa, seperti mana dalam terminal lapangan terbang,” katanya dalam syarahan yang merupakan yang kelima dalam siri anjuran PTSL.

Beliau meramalkan bahawa perpustakaan masa depan akan mempunyai banyak lagi kemudahan, dan bukan sahaja buku-buku.

“Perpustakaan abad ke-21 masih mempunyai buku-buku, tetapi ia juga mempunyai pencetak 3-D, pemotong laser, mesin jahit, dan ruang untuk menjalankan mesyuarat perniagaan. Ia menawarkan kelas pengekodan komputer, ia mempunyai video canggih dan penerbitan audio. Ini semua mungkin membabitkan kos tinggi, tetapi ramai boleh mendapat manfaat daripada menggunakannya,” jelas beliau.

Beliau percaya bahawa perpustakaan sebagai gudang maklumat adalah satu konsep yang ketinggalan zaman, dan dalam abad ke-21 ia menjadi bengkel masyarakat dan sebuah hab penuh dengan alat-alat ekonomi pengetahuan.

Jadi, seperti apa perpustakaan masa kelihatan?

“Mungkin tidak begitu banyak beza daripada apa yang terdapat hari ini.  Perpustakaan hari ini sudah ada balai masyarakat  dengan bilik yang penuh dengan buku-buku dan mesin. Banyak perpustakaan mempunyai pencetak, mesin penyalin, komputer, dan terminal mikrofis. Tetapi jika trend di negara-negara maju adalah ke arah tiada buku, pencarian dan pencetakan hanya boleh dimuat turun dalam talian,” katanya.

Beliau meramalkan apabila pendidikan tinggi menjadi semakin kurang formal, fungsi pusat-pusat pengajian dan perpustakaan semakin rapat.

Beliau berpendapat perpustakaan universiti perlu berada di tengah-tengah pengajaran dan pembelajaran, bekerjasama rapat dengan kakitangan akademik untuk membantu mereka mengajar pelajar-pelajar.

Turut hadir pada ceramah tersebut ialah Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA)  Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Ketua Pustakawan TSL Hafsah Mohamad.ukmnewsportal-bm
2

3

4