Aplikasi iDiet Score Pantau Diet Atlet Malaysia


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BUKIT JALIL, 18 September 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama strategik dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi membantu meningkatkan perkembangan diet atlet Malaysia melalui pembangunan aplikasi mobile iaitu iDiet Score.

Ketua Projek iDiet Score™ Prof Madya Dr Nik Shanita Safii berkata, iDiet Score adalah aplikasi mudah alih untuk membantu atlet dan individu aktif bagi memantau pengambilan makanan melalui pelan menu menggunakan artificial intelligent.

“Jadi, daripada situ kita nampak aplikasi  ini boleh dimajukan dan ISN merasakan ia adalah salah satu produk penyelidikan yang boleh dikomersialkan. InsyaAllah projek ini akan tamat pada Disember ini dan daripada itu kita akan bincangkan geran selanjutnya iaitu  geran pemasaran supaya ia boleh dikomersialkan,” katanya selepas Majlis Perasmian ISN Inspire di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dato’ Ir Dr Othman A. Karim. 

Prof Madya Dr Nik Shanita berkata, kira-kira 50 orang atlet ISN yang terlibat dengan penyelidikan merangkumi atlet endurance, rhythmic, strength dan individu aktif.

“Individu aktif ini adalah individu yang pergi ke Pusat Kecergasan, mereka nak tahu apa keperluan mereka… jadi mereka boleh memuat turun aplikasi kerana aplikasi  yang kita bangunkan itu bukan untuk kegunaan atlet sahaja tetapi boleh digunakan juga kepada individu luar yang aktif,” ujarnya.

Seramai lapan orang penyelidik UKM terlibat dengan projek tersebut iaitu enam dari Fakulti Sains Kesihatan dan dua dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, manakala dua orang adalah dari ISN.

Aplikasi iDiet Score dibangunkan oleh Pusat Teknologi Maklumat UKM yang dilantik sebagai vendor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, sebagai sebuah institut peneraju sukan negara, ISN sentiasa mendepani keperluan sukan secara holistik dengan meluaskan jaringan dan kolaborasi strategik dengan pelbagai entiti dalam dan luar negara yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta. 

“Pada hari ini secara rasminya ISN menjalin kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat Universiti Awam iaitu UIAM, UPM, UKM dan UTM. 

“Kerjasama hari ini bakal menyaksikan kerjasama dalam bidang perkhidmatan, penyelidikan, sains sukan, inovasi, perubatan sukan dan pengkomersialan dalam pelbagai bidang yang menjadicore business ISN dan ISN bersedia membina hubungan yang seimbang dengan rakan strategik secara kolektif,” katanya semasa menyampaikan ucapan.