ASK 2021 Iktiraf Jasa Warga Fakulti Perubatan UKM


Oleh Farah A’lia Manan
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 9 Julai 2021 – Majlis Anugerah Sanjungan Kencana Fakulti Perubatan 2021 (ASK 2021) telah mengiktiraf pelbagai bentuk sumbangan, bakat dan kecemerlangan warga Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata pengiktirafan itu dapat melonjakkan motivasi kepada semua penerima anugerah untuk menjadi warga yang bersahsiah, berkualiti dan menjadi  contoh terbaik kepada warga fakulti yang lain.

“Saya berharap anugerah ini dilihat sebagai satu nadi penggerak kepada perubahan positif dalam membudayakan kecemerlangan di tempat kerja,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis ASK 2021 Fakulti Perubatan UKM yang diadakan secara dalam talian, semalam.

Katanya, beliau berbangga dengan pengiktirafan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap kepakaran warga Fakulti Perubatan membantu negara menangani pandemik COVID-19.

“Ini dibuktikan dengan penglibatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) sebagai hospital bagi merawat pesakit COVID-19 serta Pusat Pemberian Vaksin secara pandu lalu.

“Pandemik COVID-19 telah menjadi faktor pendorong supaya kita menjadi lebih inovatif, dinamik dan berusaha menyesuaikan diri agar sentiasa relevan dengan keadaan dan keperluan semasa,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali berkata majlis itu merupakan sebahagian daripada aktiviti menjelang sambutan Jubli Emas Fakulti Perubatan UKM pada tahun hadapan.

“Fakulti Perubatan kini ialah antara institut perubatan yang cemerlang kerana melahirkan pakar-pakar perubatan yang banyak menyumbang kepada negara kita,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 25 kategori anugerah telah dipertandingkan dan majlis itu juga turut memberi penghargaan kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 Fakulti Perubatan.

ASK 2021 turut diserikan dengan penampilan istimewa penyanyi tersohor negara, Dato’ Jamal Abdillah bagi menghargai dan menghiburkan barisan hadapan yang memerangi COVID-19.