Atlet Ping Pong dan Berbasikal dinobat Olahragawan dan Olahragawati UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 1 April 2019 – Atlet Ping Pong dan Berbasikal sekali lagi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Majlis Anugerah Sukan UKM Ke-29 di sebuah hotel di Bangi di sini.

Muhamad Ashraf Haiqal Muhamad Rizal telah dipilih sebagai Olahrawan UKM untuk dua tahun berturut-turut atas pencapaian terbaiknya dalam sukan Ping Pong.

Sepanjang tahun 2018, beliau telah memenangi pingat emas bagi acara Single & Team Event 55th Malaysia Table Tennis Championship, pingat emas Bergu Lelaki (SUKIPT) dan pingat emas Single Higher Education Sport Fest.

Di peringkat antarabangsa, beliau telah layak ke peringkat suku akhir Kejohanan Sukan Komenwel Gold Coast, pusingan 32 Kejohanan Sukan Asia Jakarta, separuh akhir Div 3 World Cup Champioship Sweeden dan suku akhir ITTF Challenge Thailand Open.

Sementara itu, bagi ketegori Olahragawati pula, panel pemilih telah memilih atlet Berbasikal iaitu Noraidillina Adilla J. Sam.

Beliau yang juga Olahragawati UKM bagi dua tahun berturut-turut telah dipilih kerana kejayaannya dalam mengharumkan nama UKM khasnya dan Malaysia amnya dalam sukan Berbasikal sepanjang tahun 2018.

Antaranya, beliau telah memenangi pingat perak bagi acara Kriterium di Kejohanan Varsity Challenge 2018, pingat perak Road Race Team acara Criterium Kejohanan Singapore Cycling Cup 2018, tiga pingat emas Kejohanan Asian Track Championship, pingat perak Kejohanan SUKIP dan tempat keenam terbaik sprint wb Kejohanan Para Cycling Track World Championship di Brazil.

Olahragawan Kakitangan pula telah diberikan kepada Mohd Muqlis Borhan iaitu atlet bagi acara Sepak Takraw manakala Olahragawati Kakitangan telah dinobatkan kepada Dr Ester Salimun yang terlibat dalam sukan Teakwondo.

Anugerah Sukan UKM kali ini juga menyaksikan mantan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali menerima Anugerah Tokoh Sukan. Beliau dipilih kerana telah banyak menyumbang jasa dan bakti terhadap pembangunan sukan universiti dan menyokong segala program yang dianjurkan.

Prof. Tan Sri Dr Noor Azlan adalah teraju utama dalam terbinanya Oval Kriket UKM-YSD yang dirasmikan pada bulan Januari lepas dan beliau juga Presiden Kelab Bola Sepak UKM (UKMFC).

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Dato’ Muhammad Nasir Hamzah, Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor dan Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Roslee Rajikan.