AYVP 2018 Ketengah Isu Melindungi Warisan Semulajadi ASEAN


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 25 Julai 2018 – Program Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP) 2018 yang diadakan di Bangi dan Langkawi selama empat minggu mengetengahkan isu perlindungan warisan semulajadi ASEAN.

Dengan tema Protecting ASEAN’s Natural Heritage, 50 peserta yang terdiri daripada belia dari Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina, Brunei, Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Laos akan melalui beberapa sub-modul termasuk Pelancongan, Keusahawanan Sosial, Pengurusan Projek, serta Warisan Budaya dan Alam.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif ASEAN dalam menyokong status Revolusi Global Geopark Langkawi selepas ia diiktiraf oleh UNESCO pada 1 Jun 2007 sebagai wilayah geopark pertama Malaysia, menjadikannya yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

“Saya percaya anda akan memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang berguna sepanjang program ini dan akan mencetuskan beberapa idea kreatif ke arah penyusunan dan pelaksanaan projek anda sendiri ketika kembali ke negara asal anda,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pembukaan AYVP di Persada Canslori baru-baru ini.

Beliau berkata, melalui program ini, manifestasi komitmen UKM untuk menegakkan agenda integrasi ASEAN dengan membangunkan Pemimpin-Pemimpin Warisan Belia ASEAN dalam kepemimpinan belia dan pemuliharaan warisan semulajadi, dengan tujuan untuk meletakkan kedudukan ini sebagai sebahagian daripada Rancangan Kerja Belia ASEAN 2016-2020 telah tercapai.

Sementara itu, peserta dari  National University of Laos, Niphaphone Songkham berkata, melalui AYVP belia ASEAN akan dapat berkongsi maklumat dan mencari penyelesaian ke arah melindungi warisan alam negara masing-masing.

“Saya berharap agar AYVP 2018 akan memberi lebih mengetahuan dan kami akan lebih banyak perkara tentang warisan yang kami tidak tahu sebelum ini,” katanya.

Rungfa Junpum, pelajar dari Mahidol University, Thailand pula berkata, penyertaan beliau dalam AYVP adalah galakan daripada rakan seniornya yang telah menyertai AYVP 2017.

“Ini adalah pengalaman baru dan berharga bagi saya dan saya berharap melalui program ini, kami (peserta) bukan sahaja dapat pengalaman tentang warisan alam di Malaysia tetapi di seluruh negara ASEAN amnya.

“Adalah penting bagi kami untuk berkongsi warisan semulajadi ASEAN yang mempunyai kepelbagaian diversity,” katanya.

Perasmian AYVP 2018 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.