Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar di Tanah Melayu Sejak abad ke-7


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 17 September 2019 – Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di Tanah Melayu sejak abad ke-7, iaitu sejak bentuk tulisan bahasa Melayu mengalami asimilasi daripada tulisan Rencong, Pallava, Kawi, Jawi dan Rumi.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Dr  Mohd Ghazali Abas berkata, perkara itu menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah pun digunakan dan ditulis dengan mantap menggunakan aksara dan abjad tersebut.

“Bukti-bukti yang diperoleh oleh pengkaji dan ahli sejarah tidak boleh menidakkan fungsi dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sejak zaman Srivijaya.

“Melalui sistem pendidikan yang terbaik yang disediakan oleh kerajaan, saya yakin kita mampu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan ucapan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada Majlis Seminar Mendaulatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Tahun 2019 di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Dalam ucapan itu, beliau menerangkan bahawa tanggungjawab untuk terus mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan hanya harus dipikul oleh Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), atau universiti-universiti tempatan, tetapi oleh semua rakyat Malaysia yang mengaku sebagai warganegara Malaysia.

Katanya, dalam mendepani cabaran masa hadapan, masyarakat perlu terus berevolusi dan mengadaptasi dengan cepat kepada perubahan, untuk terus kekal relevan.

Usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu diteruskan dengan kempen kerajaan melalui Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan.

“Semua usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah untuk memastikan kedudukan Bahasa Melayu di samping meletakkan nilai ‘ilmu’ dalam bahasa tersebut,” ujarnya.

Beliau menambah, dalam konteks untuk memastikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perkara penting yang perlu dilakukan ialah penterjemahan kerana dengan penterjemahan juga dapat mengembangkan dan memastikan kelangsungan hayat bahasa Melayu di persada dunia.

“Saya menyeru agar semua rakyat Malaysia bekerjasama, khususnya dalam kalangan ilmuan, pakar bahasa, agensi dan badan yang berhak untuk memastikan bahasa Melayu muncul sebagai bahasa ilmu dan seterusnya menjadi bahasa antarabangsa,” katanya.

Majlis perasmian seminar ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UKM, Prof  Ir Dr  Mohd Hamdi Abd Shukor, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan Profesor Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican.