Bahasa Melayu Terpancang Tegap Sejak 1,800 Tahun – Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 17 September 2019 – Tamadun kita yang sudah lebih 1,800 tahun menunjukkan bahawa bahasa Melayu, agama Islam, raja, budaya dan Rukun Negara sudah terpancang tegap dan terpasak rapi sebagai tiang seri yang tidak mungkin tergugat dalam sistem kita, kata Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, bahasa Melayu sudah lama sepatutnya tegap sebagai bahasa ilmu, lantaran kedudukanya sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan.

Beliau yang telah bersama dalam kerajaan selama 45 tahun mengakui bahawa penderaan Bahasa Melayu dilakukan tanpa perhatian, yakni kuasa politik sendiri agak kabur tentang Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Kita tak boleh sama dengan Singapura dan Thailand kerana kedua-dua negara itu mempunyai objektif yang lain disamping nasionalisme mereka yang berbeza.

“Pihak-pihak seperti Dong Zong yang menyebabkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) memberi keutamaan kepada Bahasa Inggeris dalam pelajaran matematik dan sains, manakala di sekolah kebangsaan juga kita disuruh belajar matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris,” katanya semasa menyampaikan Ucaptama pada Seminar Bahasa Melayu: Mendaulatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Tahun 2019, di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi baru-baru ini.

Katanya, perkara tersebut bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Malaysia kerana keadaan inilah (pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) yang menggoncang nilai pendidikan negara selama ini disebabkan oleh kehendak politik, bukan kehendak pendidikan asas.

Beliau menegaskan lagi, apabila pernyataan nasional dipermainkan dalam percaturan siasah tanah air, identiti nasional juga menjadi buah caturan politik yang para pendidik tiada kuasa untuk menahan asakannya.

Dalam ucapannya, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais turut menyebut tujuh perkara berkaitan penyataan nasional. Antaranya ialah, Akta Pendidikan 1996 mengandungi kuasa menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, memperjuangkan kembali buku-buku nahu Melayu (kerana kebanyakkan buku nahu Melayu kini mempunyai nahu angkutan Inggeris yang tebal keinggerisannya) dan memperjuangkan industri terjemahan.

“Saya sangat mendoakan semoga kita terus berjuang dalam perjuangan bahasa budaya kita dan diikuti oleh 20 universiti yang lain.

“Kita hilangkan ketua-ketua lama yang tidak produktif, tetapi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mesti kita jadikan keutamaan kita untuk masa hadapan,” katanya.

Seminar yang dihadiri kira-kira 200 peserta andalah anjuran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Institut Alam dan Tamadun Melayum(ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).