Bank Rakyat Cawangan Kajang Sumbang RM7,000 Kepada UKM

Oleh Asmahanim Amir

Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 12 November 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima bantuan sebanyak RM7,000 daripada Bank Rakyat Cawangan Kajang bagi membantu pelajar-pelajar yang berada di kampus.

Pengurus Cawangannya, Jaapar Mahad berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui dana khas untuk pandemik Covid-19 bagi membantu para pelajar.

“Dalam waktu pandemik ini, keperluan asas para pelajar yang berada di kampus terutamanya keperluan perbelanjaan makanan kering adalah sangat perlu kerana mereka tidak boleh keluar seperti biasa untuk membeli barang.

“Jadi, kita serahkan kepada pihak universiti bagi menguruskan pengagihan kerana kita mengambil kira SOP yang perlu dipatuhi. Kalau dalam keadaan biasa kita akan mengambil inisiatif untuk kita buat penyerahan sendiri tetapi dalam keadaan ini, kita tidak boleh lakukannya,” katanya.

Beliau berkata pihak bank akan melihat semula bantuan-bantuan lain yang boleh disalurkan kepada universiti seperti bantuan zakat kepada pelajar B40.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A Karim mengucapkan terima kasih kepada Bank Rakyat dan beliau yakin bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu pelajar-pelajar di kampus yang memerlukan.

“Dalam keadaan pandemik ini, pelajar mempunyai banyak keperluan. Kita memang sentiasa membantu mereka (pelajar) dari segi kebajikan melalui zakat dan sebagainya.

“Dua hari lepas kita membantu pelajar dengan memberi empat buah notebook kepada empat orang pelajar melalui bantuan zakat,” katanya.

Beliau berkata UKM akan sentiasa melihat keperluan-keperluan lain yang diperlukan oleh pelajar dan akan terus menyalurkan bantuan.