Belajar Tidak Halang Dua Beradik Fokus Perniagaan sehingga Jualan Mencecah RM600,000 Setahun


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 10 Mei 2019 – Berbekalkan modal pusingan RM500 pada tahun 2010, kini pasangan adik beradik yang merupakan pelajar Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjalankan perniagaan pelbagai jenis kasut berjenama berbangga dengan jualan yang mencecah RM600,000 setahun.

Muhammad Izzat Razali, pelajar Sarjana Syariah tahun tiga dan adiknya, Muhammad Syakir Razali, pelajar Sarjana Dakwah tahun dua telah menjadikan perniagaan sebagai bidang utama selain dari belajar.

Menceritakan permulaan perniagaan mereka, Muhammad Izzat berkata ianya tercetus semasa beliau melanjutkan pengajian Sarjana Muda di Jordan sembilan tahun lepas.

“Semasa belajar di sana, saya perlu mencari sumber kewangan kerana tidak mahu hanya bergantung kepada kiriman wang daripada keluarga di kampung. Memandangkan saya minat dengan kasut-kasut vintage seperti Adidas, Puma dan Converse, saya mula membeli sedikit-sedikit secara runcit di kedai-kedai barangan terpakai di sana (Jordan), dan menyimpannya sebelum dijual di Malaysia.

“Saya hanya menjalankan perniagaan semasa saya pulang ke Malaysia melalui saluran media sosial iaitu Facebook dan sambutannya amat menggalakkan, dan pada tahun 2016, kami kembangkan perniagaan di Instagram dan eBay,” jelasnya.

Beliau berkata, selepas dia habis belajar di Jordan, adiknya, Muhammad Syakir pula yang meneruskan perniagaan di sana, manakala beliau menjalankan perniagaan di Malaysia.

“Saya bersyukur kerana Syakir juga dapat belajar di Jordan dan dapat meneruskan perniagaan di sana. Sekarang ini, kami tidak lagi bergantung kepada kasut terpakai daripada Jordan, sebaliknya telah meluas kepada kasut-kasut jenama yang lain yang dibeli secara pukal terus daripada pusat-pusat pemborong luar negara, termasuklah di Eropah,” katanya.

Kini, kedua-dua beradik itu berbangga apabila telah membuka kedai di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, yang menempatkan pelbagai jenis kasut, beg, pakaian dan barang-barang mendaki (hiking).

“Tetapi, fokus utama kami masih lagi kepada jualan kasut kerana mendapat permintaan yang tinggi termasuk dari pelanggan luar negara,” jelasnya.

Muhammad Izzat yang bercita-cita untuk menyambung pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) berkata, beliau akan meneruskan perniagaan bersama adiknya dan tidak bercita-cita untuk menjadi Pensyarah.

“Kami nak kukuhkan ekonomi keluarga dan menolong lebih ramai orang diluar sana yang mahu bekerja. Melalui perniagaan, kita boleh bantu orang lain untuk sama-sama berniaga,” katanya.

Muhammad Izzat dan Muhammad Syakir yang menjalankan perniagaan dengan nama syarikat Tokk Mung Enterprise telah dinobatkan sebagai Ikon Keusahawanan UKM kerana kejayaan perniagaan mereka dengan modal pusingan kini mencecah RM200,000.