Belanjawan 2019: Realisasi Menifestasi Kerajaan Pakatan Harapan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 2 November 2018 – Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng jelas menunjukkan menifestasi yang dilaungkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

“Teras pertama itu memang yang telah dilaungkan oleh kerajaan daripada awal lagi. On that part we congratulate them kerana mereka mengetegahkan sesuatu untuk melaksanakannya,” kata beliau.

Beliau berkata, kaedah zero base budgeting yang disebut dalam Belanjawan 2018 adalah satu pengkaedahan yang baru dan bagus, tetapi masih ada komplikasi-komplikasi yang akan timbul.

“Ia adalah pengkaedahan, iaitu pengkaedahan yang memerlukan kita lebih teliti dan akan memastikan bahawa dana yang diperuntukan itu adalah menepati kepada matlamatnya.

“Konsep ini adalah kita akan menilai semula apakah keperluan yang sebenarnya. Itu adalah pengkaedahan budgeting. Pengkaedahan yang kemungkinan lebih kompleks tetapi memerlukan kita meneliti semula amalan-amalan yang lepas,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks untuk memastikan keterbukaan, memperkukuhkan isu-isu integriti, mengelakkan ketirisan dan isu-isu rasuah, pengkaedahan dari segi perolehan itu juga akan dibuat dengan cara yang berbeza.

“YB Lim ada menyebut dalam bajet iaitu nak memperkukuhkan pasukan SPRM (Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia). Kita nampak penekanan mereka di situ dalam membanteras isu rasuah di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Pengurusan Hutang (PPH) yang dinyatakan dalam Belanjawan 2019 tidak dinyatakan secara khusus, umpamanya dalam konteks PPP, PFI dan sebagainya.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan untuk mewujudkan PPH itu kerana mereka mendapati bahawa pelaporan hutang dan proses-proses yang menyebabkan kerajaan sama ada berhutang atau komited untuk membayar hutang sekiranya sesuatu berlaku atau kadangkala ia menjadi off balancing.

“Jadi, mereka merasakan bahawa perlunya ada satu pejabat yang menyelaraskan pelapor dan memastikan pengurusan hutang sama ada pengambilan atau penambahan hutang dilaksanakan dengan cara yang lebih teratur,” jelas beliau.

Dalam konteks mensejahterakan rakyat, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan berkata, ia adalah baik.

“Nampak gayanya kerajaan PH dan Barisan Nasional (BN) berada dalam nada yang sama, tetapi mungkin irama berbeza. Kedua-duanya mempamerkan bahawa kerajaan berada di sini untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah.

“Pertama ialah pemberian subsidi iaitu targeted subsidy. Sebelum ini subsidi memang sudah diberikan, tetapi untuk bajet kali ini subsidi itu diperkukuhkan lagi. Sebagai ahli ekonomi, saya bersetuju dengan konsep subsidi bersasar. Dalam konteks umum ia nampak lebih baik kerana boleh mengurangkan subsidi, tetapi bagaimana nak memastikan bantuan subsidi itu sampai kepada golongan yang disasarkan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana kerajaan akan melaksanakan bantuan subsidi tersebut kerana kerajaan sebelum ini (BN) juga pernah memberi subsidi diesel kepada nelayan, tetapi ada nelayan yang menjual diesel itu kepada nelayan luar.

“Adakah subsidi bersasar ini hanya akan diberikan kepada kumpulan berpendapatan rendah sahaja? Bagaimana kerajaan nak pastikan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar ini akan berkesan? Untuk melaksanakannya, kerajaan perlu ada kaedah kawalan yang berkesan,” tegas beliau.

Katanya, rakyat akan memberi kerjasama dan usaha yang baik dalam memastikan Malaysia akan terus maju ke hadapan.

“Sebagai ahli ekonomi, my concern is only about the country. We must do the right thing, benda yang betul adalah betul dan benda yang salah adalah salah. Jadi kita kena sama-sama membantu supaya negara kita boleh menjadi ‘harimau yang garang’ seperti yang Tun (Mahathir) selalu sebutkan. Hopefully kita akan menjadi sebuah negara yang maju suatu hari nanti,” katanya.