Bicara Perdana Naib Canselor – UKM Terus Martabat Bahasa Melayu


Oleh Asmahanim Amir

Foto Ikhwan Hashim & Shahiddan Saidi

BANGI, 8 Mac 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diberi mandat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk terus memartabatkan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh KPT, kementerian itu telah melantik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sebagai Sekretariat Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu Institusi Pendidikan Tinggi Negara-negara Asean.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata pelantikan itu adalah tepat pada masanya kerana universiti itu sentiasa berpijak kepada realiti penubuhannya untuk memartabatkan bahasa melayu sebagai Bahasa Ilmu.

“Penubuhan UKM adalah aspirasi rakyat yang mahukan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu selain meletakkan jati diri kebangsaan sebagai asas dan menjulang semangat patriostisme dalam kalangan warganya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Bicara Perdana Naib Canselor UKM 2022 yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM Bangi.

Katanya UKM menyambut baik amanat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan Bahasa Melayu digunakan dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk mesyuarat dan juga persidangan antarabangsa.

“Bahasa Melayu adalaah janji UKM kepada negara sejak dari awal penubuhannya. Oleh itu, pelantikan ini sangat kena pada masanya kerana ATMA kini giat menjalankan pelbagai program untuk memartabat serta memperkasa bahasa kebangsaan.

“Ia merupakan amanah besar yang perlu digalas oleh semua pihak untuk meletakkan bahasa melayu di tempatnya,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata melalui pelantikan tersebut, UKM bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan pelbagai program dapat dilaksanakan serta meningkatkan kerjasama dengan pelbagai universiti demi mencapai aspirasi pengukuhan bahasa kebangsaan.

“Sebagai sekretariat yang akan menerajui pemerkasaan Bahasa Melayu diperingkat antarabangsa, ATMA yang sememangnya sudah mempunyai asas kajian mengenai bahasa berhasrat untuk mengadakan kerjasama dengan universiti-universiti utama di Asia Tenggara,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, UKM juga akan memastikan dalam usaha memperkasa bahasa kebangsaan ini, ia tidak akan sesekali meminggirkan bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Inggeris, Mandarin dan sebagainya.