Bincang Isu Perubahan Iklim Dalam Seminar


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 25 Ogos 2020 – Lebih 150 penyelidik, pelajar dan wakil agensi kerajaan dan bukan kerajaan menyertai seminar perubahan iklim bertajuk Climate Change: Scale, Impact and Urgency yang diadakan di Puri Pujangga dan juga aplikasi Zoom.

Seminar yang diadakan itu membincangkan pelbagai isu perubahan iklim yang sedang melanda dunia.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad berkata, kesan perubahan iklim merentasi sempadan adalah isu global yang menuntut semua pihak memainkan peranan dalam mengurangkan risiko perubahan iklim. 

“Dalam seminar ini, kita akan mendengar pakar-pakar bidang berkongsi mengenai tugas dan pemikiran serta pendapat mereka tentang isu-isu perubahan iklim. 

“Memandangkan skop isu-isu berkaitan iklim ini adalah pelbagai, para penceramah akan membentangkan isu perubahan iklim dari perspektif yang berbeza. Jadi saya berharap para peserta akan mendapat ilmu dan input yang lebih luas berkaitan isu ini (perubahan iklim),” katanya semasa menyampaikan ucapan di seminar tersebut.

Seminar itu membariskan lima penceramah iaitu Prof Dr Edvin Aldrian dari Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi, Indonesia, pakar-pakar dari UKM iaitu Prof Madya Dr Liew Ju Neng, Prof Madya Dr Rawshan Ara Begum dan Prof Madya Dr Marlia Mohd Hanafiah, manakala Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin sebagai penceramah utama.

Pada majlis itu juga, Prof. Dato’ Ir Dr Abdul Wahab mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Prof Datuk Dr Azizan di atas pelantikan beliau sebagai Penyandang Kursi Perubahan Iklim UKM-Yayasan Sime Darby untuk Perubahan Iklim selama tiga tahun bermula dari Jun 2020.