Biodiversiti Murni Tidak Wujud, Kata Pakar Ekologi Tersohor

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 5 Feb 2016 – Biodiversiti, atau kepelbagaian haiwan dan tumbuhan yang seratus peratus asli tidak wujud, kata Prof Hugh Possingham, seorang ahli ekologi matematik yang tersohor dari University of Queensland, Australia.

Prof Possingham menjelaskan bahawa adalah tidak munasabah untuk mengharapkan biodiversiti kekal selama-lamanya, kerana kegiatan manusia dan iklim sentiasa mengubah persekitaran.

” Biodiversiti asli tidak wujud. Jika anda berjalan di sekitar bandar-bandar utama di Malaysia, masih boleh melihat 20-30 spesies burung. Jadi, biodiversiti dapat menyesuaikan dengan keadaan berubah. Ada yang cepat menyesuaikan diri. Ia  tidak perlu asli. Saya fikir ia hanya soal keseimbangan. Malah, terdapat beberapa kawasan pemuliharaan terbaik di kawasan hutan dan ladang.

“Saya fikir kita terlalu asik mengharapkan ekosistem menjadi kekal. Apa yang kita boleh lakukan ialah menguruskannya dengan bijak, ” katanya kepada Portal Berita Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini selepas syarahan  beliau pada siri Wacana keLESTARIan.

Beliau menganggap ladang kelapa sawit sebagai biodiversiti lestari kerana ia  berjaya memupuk kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna di sekitar kawasan tanaman pokok.

Beliau menjelaskan lama-kelamaan hutan belukar atau semak akan menggantikan pokok-pokok kelapa sawit yang tidak lagi produktif dan ditebang.

“Anda perlu memastikan kawasan hutan tanah rendah dilindungi. Sekitar  Malaysia terdapat kelompok-kelompok hutan hujan yang boleh dijaga oleh masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau mencadangkan pihak berkuasa Malaysia melibatkan masyarakat tempatan dan syarikat perhutanan untuk bertindak sebagai pelindung hutan hujan tropika.

Terdahulu dalam syarahannya mengenai Pengurusan dan Penyelesaian kepada Masalah  Biodiversiti dan Ekosistem, beliau berkata isu itu boleh diselesaikan hanya dengan mengguna akal.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa cara yang lebih berkesan untuk menangani masalah adalah untuk mengukur data supaya pihak berkepentingan  dapat memahami apa yang akan bakal hilang jika tiada tindakan diambil dengan pantas.

Prof Possingham, yang juga Pengarah Majlis Penyelidikan Pusat Kecemerlangan Keputusan Alam Sekitar Australia, mengkritik rancangan kerajaan negara itu untuk melindungi Great Barrier Reef yang terkenal di dunia,  sebagai tidak memadai.

Beliau menegaskan bahawa rancangan itu tidak mengambil kira kesan perubahan iklim dan tidak menangani masalah kualiti air dan pembangunan pantai.ukmnewsportal-bm
02

03