Buku “Impak COVID-19 Terhadap Insan” Ketengahkan Penerimaan Perubahan dalam Kehidupan Norma Baharu Pasca COVID-19

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 4 Mac 2021 – Buku “Impak COVID-19 Terhadap Insan” yang ditulis oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan (INSAN), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dihasilkan melalui pengalaman mendepani pandemik COVID-19 yang sedikit sebanyak telah memberi kesedaran kepada semua insan tentang pentingnya mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan ilmu pengetahuan.

Buku hasil penulisan Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, Prof. Madya Datin Dr. Nor Liza Abdullah dan Fazilah Mohamad Hasun itu mengetengahkan karya dan hasil penyelidikan bermutu yang sesuai untuk pembacaan khalayak umum, ahli akademik, pengurus dan penyelidik yang ingin memantapkan pengetahuan berkaitan isu pandemik COVID-19.

Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata beliau yakin buku itu bukan sahaja dapat menyumbang kepada usaha memperkayakan khazanah ilmu berbahasa Melayu, malah ia memberi nilai dan dan makna dalam memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang beberapa strategi, peranan dan keupayaan rakyat mendepani COVID-19.

“Tahniah kepada Pusat INSAN, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan Penerbit UKM kerana telah berjaya menghasilkan buku ini yang mampu mempamerkan kepada masyarakat tentang sumbangan dan tanggungjawab UKM terhadap isu terkini yang melanda dunia.

“Selain buku ini, saya juga difahamkan terdapat beberapa buah buku berkaitan isu terkini masyarakat hasil penulisan ahli Pusat INSAN yang dilihat mampu membantu masyarakat untuk bangkit semula daripada pengalaman pahit COVID-19,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran Buku ‘Impak COVID-19 Terhadap Insan’ di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata setiap bab ditulis berdasarkan pengalaman para penulis sebagai ahli akademik dan juga berlandaskan penyelidikan saintifik.

“Konsep, teori, penemuan penyelidikan dan praktis yang diutarakan dalam buku ini boleh dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat tatkala mendepani pandemik COVID-19 yang memahat sejarah hitam yang sukar dilupakan.

Beliau berkata pengalaman mendepani pandemik COVID-19 sedikit sebanyak telah memberi kesedaran kepada semua insan tentang pentingnya mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan ilmu pengetahuan.

“Pembelajaran ini akan memudahkan setiap insan menerima perubahan dalam kehidupan dan memudahkan adaptasi norma baharu pasca COVID-19.

“Inilah antara intipati utama yang cuba ditonjolkan oleh penulis dalam setiap bab buku ini,” ujarnya.

Buku yang diterbitkan oleh Penerbit UKM itu mempunyai mempunyai 14 bab dengan ketebalan 194 muka surat telah mengambil masa selama tujuh bulan untuk disiapkan.

Hadir sama ialah pada Majlis Pelancaran Buku Impak COVID-19 Terhadap Insan ialah Ketua Setiausaha, Dato’ Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Hishamshah Mohd Ibrahim dan Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr. Norhayati Rusli.