Buku Tampilkan Rahsia Makanan dan Perubatan Islam Oleh Penyelidik UKM

JUMAAT, 15 MEI 2015 11:31

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 15 Mei 2015 – Buku mengenai penghuraian secara terperinci tumbuh-tumbuhan dan makanan terpilih yang bersandarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, hasil karya gabungan penulis-penulis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dilancarkan di sini pada 28 April lalu.

Buku bertajuk ‘Indahnya Pemakanan dan Perubatan Islam’ dikarangkan gabungan penyelidik Fakulti Sains dan Teknologi bersama Fakulti  Pengajian Islam dengan tajaan Bank Muamalat serta diterbitkan syarikat Telaga Biru Sdn Bhd.

Buku tersebut dikukuhkan dengan kajian saintifik yang merangkumi habitat, populasi, penanaman, kegunaan dalam pemakanan dan cara penyediaan bahan perawatan.

Selain itu, buku ‘Indahnya Pemakanan dan Perubatan Islam’ juga boleh dijadikan panduan kepada pengamal perubatan alternatif.

Pensyarah Sains Makanan dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Prof Dr Aminah Abdullah yang merupakan salah seorang pengarang buku tersebut berkata ia tercetus hasil dari penerbitan buku yang ditulis oleh beliau iaitu Fruits in the Quran: Its Implication to Health.

“Daripada situ, kita mula menjalankan kajian bersama Dr Fazsly Rahim dan Dr Wan Nasyirudin Wan Abdullah bersama beberapa pensyarah lain bagi menerbitkan buku ini.

“Kita mula menulis pada tahun 2013, dan jangkaan awal untuk siapkan buku ini adalah untuk tempoh setahun, tetapi disebabkan ada beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, jadi penerbitannya ditangguhkan ke tahun ini,” katanya selepas majlis pelancaran buku tersebut di Pesta Buku Antarabangsa.

Beliau berkata beliau bersama beberapa penulis lain dari FST telah menulis berkaitan sains manakala untuk penulisan tentang al-Quran dan Sunnah diserahkan kepada Fakulti Pengajian Islam (FPI).

“Maknanya ini adalah gabungan daripada dua fakulti. Gabungan ini sangat bagus dan kita perlu teruskan. Jika kita menulis hal-hal berkaitan Islam, kita risau ia tidak tepat. Jadi kita serahkan kepada FPI untuk menulis berkaitan Islam,” katanya.

Dr Aminah berkata beliau telah berbincang dengan Telaga Biru dan Bank Muamalat untuk menterjemahkan buku tersebut ke Bahasa Inggeris dan mengadaptasikan ke Bahasa Indonesia.

“Penulis asal yang boleh terjemahkan ke Bahasa Inggeris akan membuat terjemahan sendiri. Untuk adaptasi ke Bahasa Indonesia, kita kena guna orang Indonesia untuk lakukannya. Mungkin saya akan gunakan khidmat bekas pelajar saya untuk adaptasikan buku ini ke Bahasa Indonesia,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa terdapat penulis daripada Universiti Malaya, Universiti Sains Malasyia dan Mardi yang menulis untuk tajuk-tajuk kecil dalam buku tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn Bhd, Dr Zahazan Mohamed berkata orang ramai perlu memiliki buku itu kerana ia adalah buku yang ditulis secara terperinci oleh penulis-penulis berkenaan makanan Sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Bagaimana kita nak amalkan pemakanan Sunnah? Semuanya ada diceritakan dalam buku ini,” katanya.

Katanya bukan hanya sekadar unsur halal dan baik sahaja yang perlu dijaga oleh setiap Muslim dalam pemakanan, tetapi kedua-duanya perlu diambil secara sederhana.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pengarah Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dato’ Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dr Imran Ho Abdullah.

Buku tersebut dijual dengan harga RM70 di Semenanjung Malaysia dan RM74 di Sabah dan Sarawak.