BUKU ‘TOKOH AKADEMIA WANITA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA’ HARGAI TOKOH AKADEMIA WANITA

OLEH: SALLEH SULIEMAN
FOTO: SHAHIDDAN SAIDI

Pelancaran buku ‘Tokoh Akademia Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia’ yang dihasilkan oleh Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) UKM berpotensi meningkatkan keserlahan tokoh akademia wanita di universiti ini dalam semua bidang.

Mantan Naib Canselor UKM, Prof. Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, semasa melancarkan buku berkenaan berkata, UKM perlu menjadi sebuah universiti yang peka gender dan mesra wanita dari segi dasar, urus tadbir, prasarana dan amalan,” katanya.

“Malah, organisasi yang mengamalkan keterlibatan gender mempunyai hasil kewangan dan urus tadbir yang lebih baik berbanding dengan organisasi yang tidak peka gender.”

Katanya lagi, ketidakpekaan gender disebabkan oleh perbezaan pengalaman hidup kedua-dua jantina. Pengalaman hidup juga membuat golongan wanita kurang yakin dengan diri walaupun berkebolehan.

“Seterusnya, ketidakpekaan menjurus kepada ketidaksamaan akses kepada peluang dan ganjaran,” tambahnya.

Beliau menegaskan Malaysia berada dalam kalangan negara terendah dari segi penyertaan wanita dalam pasaran kerja.

“Penyertaan wanita amat kurang dalam kepimpinan dan membuat keputusan samada dalam sektor awam, badan berkanun, swasta dan politik.”

Justeru, beliau melihat penerbitan buku ini tepat pada masanya.

“Buku ini wajar didigitalkan agar orang ramai dapat mengaksesnya dengan lebih mudah.”

Beliau juga mencadangkan agar PKWTFH menyertai seminar gender Wikigap yang akan diadakan Bersama Kerajaan Sweden pada akhir Mac ini.

“Saya ingin melihat satu pangkalan data tentang tokoh wanita di Malaysia. Dengan adanya pangkalan data ini, kita boleh mengatur strategi untuk menyerlahkan tokoh wanita dalam apa jua bidang,” tegasnya.

Seramai 167 orang Tokoh Akademia Wanita UKM dihimpunkan dalam buku terbitan Penerbit UKM yang mempunyai 164 halaman. Ketokohan mereka dikelaskan mengikut kepakaran latar bidang di fakulti dan institut masing-masing.

Dalam majlis ini, Ahli Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, turut hadir secara dalam talian.

Selain itu, pengurusan tertinggi UKM diwakili oleh Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Daro’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Marzuki bin Mustafa, dan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim.