Cacat Penglihatan Tidak Halang Dr. Al-Amril Tamat Pengajian PhD


Oleh Muhammad Zaim Badrul Hisham
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 10 November 2018 – Status sebagai orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan tidak menjadi penghalang buat Dr. Al-Amril Othman, 49, untuk menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) meskipun berjuang selama 12 tahun.

Beliau yang juga seorang pensyarah program Sejarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), memulakan pengajian PhD sejak 2006 di bawah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dalam bidang sejarah.

Antara perkara yang memberi motivasi kepada beliau untuk terus selesaikan pengajiannya adalah tentang kelangsungan kerjayanya sebagai pensyarah dan peluang yang diberikan oleh universiti.

“Saya perlu menyudahkan pengajian ini sebagai satu passport untuk kerjaya saya di sini.

“Pihak universiti telah memberi ruang, jadi seharusnya saya membalas kepercayaan yang pihak universiti berikan. Dengan tekad itu, saya telah berusah sehabis mungkin untuk menyudahkan pengajian ini,” katanya.

Selain itu, kisah arnab dan kura-kura turut menjadi antara pegangan dan motivasi untuk beliau teruskan perjuangan menuntut ilmu.

“Biar lambat asalkan sampai ke penghujung, dan jangan cepat puas hati dengan kejayaan yang dipegang.

“Kita mesti istiqamah dalam setiap tindakan yang dilakukan untuk mencapai apa yang kita inginkan,” ujar beliau.

Berkat tekad dan istiqamah, beliau akhirnya dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Sejarah) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia Ke-46, di Dewan Canselor Tun Abdul Razak.