CAKNE Gold Ribbon Ride Tingkat Kesedaran Kanser Kanak-kanak


Oleh Murniati Abu Karim
Photo Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 17 November 2021 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan program CAKNE Gold Ribbon Ride 2021 (CGRR21) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pelbagai isu yang berkaitan kanser dalam kalangan kanak-kanak.

CAKNE atau Persatuan Sokongan Kanser Kanak-kanak Pusat Perubatan UKM turut menyasarkan kutipan dana sebanyak RM50,000 bagi membiayai pelbagai perkhidmatan dan bantuan yang disediakan oleh persatuan untuk pesakit kanser kanak-kanak serta keluarga mereka.

Kayuhan CGRR21 sejauh 500 kilometer akan dimulakan pada 27 November dan berakhir pada 4 Disember 2021 dari Seremban ke Pulau Pinang.

Pengasas CAKNE Tuan Haji Mohd Shah Awaluddin dan bekas pesakit kanser kanak-kanak yang berjaya dirawat di HCTM, saudara Muhammad Rohaizad Roslan merupakan antara peserta kayuhan CGRR21.

Tuan Haji Mohd Shah berkata aktiviti fizikal yang berasaskan gaya hidup sihat seperti kayuhan ini amat bertepatan dengan slogan CAKNE iaitu ‘Kongsi Harapan, Kongsi Kekuatan’.

“Saya berharap, program ini dapat menarik penyertaan ramai orang untuk berkongsi kekuatan mereka supaya memberi harapan kepada semua pesakit kanser kanak-kanak di seluruh Malaysia dan juga ahli keluarga mereka,” katanya.

Program tersebut dilancarkan oleh Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur Prof Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid. Turut hadir, Pengarah HCTM Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran akaun Instagram rasmi HCTM oleh Prof Dato’ Dr Ismail Sagap.