Cegah Osteoporosis Melalui Imbasan CT


Oleh Aina Umairah Muhammad Dhalan
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 Disember 2022 – Imbasan CT (Computed Tomography) boleh digunakan untuk mengesan perubahan ketumpatan tulang dengan lebih awal, sekaligus mengurangkan risiko rapuh tulang atau osteoporosis.

Inilah dapatan kajian penerima Anugerah Emas Sarjana pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-50, Mohamad Farhan Mohamad Amin.

“Kebanyakan kejadian kepatahan tulang adalah berpunca dari osteoporosis yang mana gejala perubahan ketumpatan tulang yang sangat misteri kerana tidak memberi sebarang tanda sehingga kejadian kepatahan tulang berlaku.

“Kajian ini bukan sahaja dapat memberi kesedaran awal namun dapat mengurangkan jumlah pesakit osteoporosis kerana langkah pencegahan awal dilakukan seperti senaman atau pengambilan makanan tambahan.

“Selain itu, ia memberi impak yang positif bagi kewangan negara bagi menanggung kos rawatan kepatahan tulang yang berpunca dari osteoporosis,” katanya.

Beliau merupakan seoarang penjawat awam yang bekerja sebagai juru x-ray di Hospital Teluk Intan menyifatkan kejayaannya tidak diraih dengan mudah kerana menghadapi pelbagai cabaran dan sepanjang tempoh pengajiannya.

Tambahnya, kunci utama kejayaan beliau mengimbangi antara keluarga, kerjaya dan akademik diinspirasikan oleh semangat arwah ayahnya.

“Tidak mudah perjalanan saya menuntut ilmu, lebih-lebih lagi pada usia 30-an ini, saya terpaksa membahagi masa dan komitmen sebagai seorang ayah, pekerja dan pelajar.

“Bagaimanapun, keluarga sentiasa menjadi keutamaan saya walau apa jua keadaan yang dihadapi,” katanya.