Chippie Choc Cookies Biskut Bebas Gula, Tinggi Serat


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 25 November 2021 – Pensyarah Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nur Hana Hamzaid mencipta biskut cip coklat bagi membantu rakyat tempatan tidak kira kanak-kanak atau dewasa untuk diet secara sihat.

Beliau yang berpengalaman dalam mengendalikan klinik dietetik dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas mendapati bahawa biskut cip coklat adalah pilihan yang paling digemari oleh kanak-kanak.

Rentetan permasalahan itulah tercetusnya ilham untuk mencipta Chippie Choc Cookie™ yang merupakan biskut cip coklat yang menjadi transisi kepada diet yang lebih sihat.

Dr. Nur Hana berkata Chippie Choc Cookie adalah merupakan biskut pertama di Malaysia yang memenuhi standard pelabelan bagi tinggi serat, bebas gluten dan bebas gula tetapi sangat enak serta sesuai dijadikan kudap-kudapan bagi golongan dewasa dan kanak-kanak.

Menurut beliau, penghasilan Chippie Choc Cookies™ melalui proses yang amat teliti dalam memenuhi hasrat industri disamping mengambil kira kepatuhan kepada standard bagi ketiga tiga kriteria yang telah ditetapkan iaitu tinggi serat (>6g serat/100g biskut), bebas gluten dan bebas gula (0.5 g per 100 g solid).

“Bagi mempelbagaikan pilihan rasa segenap lapisan masyarakat, biskut ini juga dikeluarkan dalam dua pilihan iaitu rendah gula (5 g per 100 g solid) dan kurang gula (25% gula dari resepi asal).

“Keistimewaan produk ini juga adalah diperbuat daripada tepung bebas gluten dan tinggi serat hasil formulasi Dr Hana’s FiberBlend™,” katanya.

Beliau berkata di Malaysia, statistik diabetis, obesiti dan berat badan berlebihan dalam kalangan dewasa kian meningkat dan amat membimbangkan. Kajian juga mendapati pengambilan serat dalam kalangan populasi Malaysia juga adalah rendah dan tidak memenuhi saranan yang digariskan dalam dokumen Recommended Nutrien Intake for Malaysia (2017). 

Bagi mengkomersilkan Chippie Choc Cookies™, UKM melalui UKM Technology Sdn Bhd telah menandatangi Perjanjian Pelesenan Teknologi dengan MFaez Food Industries Industries Sdn Bhd.

Menerusi perjanjian itu, MFaez Food Industries Industries Sdn Bhd. diberikan hak pelesenan untuk menghasilkan biskut Chippie Choc Cookies™ seterusnya memasarkan produk tersebut di dalam dan luar negara.

Sementara itu, Penasihat MFaez Food Industries Sdn Bhd., Thaer Bujang berkata projek yang dijalankan secara usahasama antara UKM dan syarikat beliau itu telah menghasilkan produk

yang bermanfaat kepada semua individu, terutamanya kepada pengguna yang mengamalkan kawalan diet harian.

“Pengkomersialan produk Chippie Choc Cookies™ ini merupakan hasil kolaborasi bersama MFaez Food Industries Sdn Bhd. Produk ini menepati spesifikasi dan mendapat pengiktirafan  persijilan Halal Jakim dan ‘Healthier Choice Logo’ atau HCL dari Kementerian Kesihatan  Malaysia,” katanya.

UKM berharap agar Chippie Choc Cookies™ menjadi pilihan yang tepat dan terbaik dalam diet seharian sebagai transisi amalan diet sihat segenap lapisan masyarakat Malaysia yang seterusnya berupaya mengurangkan risiko yang berkaitan.