Dana Endowment Ekonomi Halal – Langkah Utama Pendanaan dalam Aktiviti Akademik


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 2 Jun 2022 – Dana Endowment Ekonomi Halal yang dilancarkan baru-baru ini menjadi langkah utama dalam aspek pendanaan untuk aktiviti akademik dalam bidang Ekonomi Halal.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata sebagai Universiti Watan yang ditubuhkan hasil aspirasi rakyat dan perjuangan cendekiawan untuk menubuhkan sebuah universiti beraspirasi kebangsaan, pastinya penubuhan dana ini akan menyemarakkan lagi usaha UKM dalam meningkatkan lagi penyelidikan berkaitan ekonomi halal.

“Di peringkat UKM, bidang ekonomi dan kewangan Islam termasuklah Ekonomi Halal merupakan salah satu bidang yang mendapat perhatian dan permintaan, sama ada sebagai program akademik atau penyelidikan dan penerbitan.

“Bidang ini bermula dengan pembentukan kumpulan special interest group (SIG) yang lebih dikenali sebagai EKONIS sekitar tahun 2001 dalam kalangan pensyarah di UKM yang menfokus kepada penyelidikan dan penerbitan, selain aktiviti pengajaran serta khidmat masyarakat dan industri.

“Mulai tahun 2020, EKONIS-UKM telah menjenamakan semula bidang tujahan kepada nic Ekonomi Halal bertujuan memperluas ruang lingkup pendidikan, penyelidikan dan jaringan bagi menyokong kelebihan daya saing ekonomi halal Malaysia, serta sebagai peneraju global dan rujukan industri halal dan kewangan Islam.

“Justeru, Siri Kedua Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai Ekonomi Halal pada hari ini amat bertepatan dengan ekosistem pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan UKM, malahan sangat signifikan dalam konteks pemulihan ekonomi Malaysia pasca pandemik,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi: Ekonomi Halal Kali Ke-2 dan Majlis Pelancaran Dana Endowmen Ekonomi Halal Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UKM yang diadakan baru-baru ini.

Siri kedua Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata hasil usaha yang dibuat oleh FEP UKM melalui EKONIS, tertubuhlah Dana Endowmen Ekonomi Halal sebagai langkah utama aspek pendanaan dalam aktiviti akademik dalam bidang Ekonomi Halal.

“Penubuhan dana endowmen ini juga selaras dengan kepakaran dan pengalaman UKM yang menjalankan aktiviti berteraskan bidang ekonomi halal termasuklah bidang wakaf, perbankan dan kewangan Islam yang merupakan salah satu bidang utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” katanya.

Beliau berharap agar siri syarahan itu menjadi bukti kerelevanan kerjasama strategik antara akademia dan industri terhadap kemakmuran ekonomi negara melalui gagasan Ekonomi Halal.