Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim dilantik Profesor Adjung Fakulti Pendidikan UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan

BANGI, 29 September 2021 – Pengarah Eksekutif Kumpulan, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk tempoh dua tahun.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata pelantikan itu merupakan usaha berterusan UKM untuk memperkasa dan memperkukuhkan kebitaraan fakulti dengan melantik tokoh yang cemerlang dalam bidang akademik, profesionalisme, tadbir urus institusi serta jaringan masyarakat.

“Pelantikan ini juga akan menyemarakkan semangat dan motivasi ahli akademik UKM untuk mengekal dan terus memacu kecemerlangan akademik Universiti Watan kebanggaan negara ini,” katanya semasa menympaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Profesor Adjung Fakulti Pendidikan UKM, di sini.

Katanya, UKM yakin dengan pelbagai jawatan terdahulu di peringkat negeri, persekutuan dan antarabangsa, Dato’ Sri Dr. Irmohizam akan mampu menyumbang idea, kepakaran dan berkongsi kepakaran bersama UKM dalam tadbir urus, jaringan dan khidmat masyarakat.

“Kepakaran dan pengalaman dalam tadbir urus universiti dalam dan luar negara telah memberi keyakinan yang tinggi kepada pengurusan UKM agar Dato’ Sri dapat menyumbang kepada kecemerlangan UKM pada masa akan datang.

“Dengan latar belakang yang cemerlang dan gemilang ini, besarlah harapan kami di UKM agar Dato’ Sri dapat menitipkan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan pengalaman bagi pembangunan penyelidikan, penerbitan, sumber manusia, mahasiswa dan jaringan strategik antara UKM dengan pihak luar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata UKM juga yakin pelantikan Dato’ Sri Dr. Irmohizam mampu menyumbang kepakaran dan pengalaman dalam bitara yang berimpak tinggi kepada negara, UKM dan Fakulti Pendidikan.

Sementara itu, Dato’ Sri Dr. Irmohizam berkata antara fokus beliau setelah dilantik sebagai Profesor Adjung ialah membantu dalam menyediakan akses di peringkat universiti khususnya Fakulti Pendidikan dengan pihak industri.

“Pada hemat saya sudah tentu perancangan membina capacity building untuk modal insan harus dipertingkatkan di luar kotak lebih-lebih lagi dalam berhadapan pasca COVID-19,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau ingin bertemu dengan bakal graduan Fakulti Pendidikan bagi membincangkan bagaimana untuk menyiapkan bakal pendidik dalam memberi impak yang bukan hanya dalam konteks pendidikan, tapi juga dalam konteks membina masyarakat di Malaysia.

“Saya akui bahawa cabaran hari ini sangat luar biasa, akan tetapi kalau kita boleh bersinergi secara bersama, insyaAllah kita boleh membina harapan itu,” katanya.

Dengan pelantikan itu, katanya beliau akan menyumbang semula pengalamannya dan ilmu yang telah beliau dapat di UKM kepada seluruh warga UKM selain mewujudkan jaringan UKM di peringkat antarabangsa melalui WTC Association dan beliau mahu menjadi penghubung dengan masyarakat dan industri khususnya di luar konteks UKM.

Dato’ Sri Dr. Irmohizam adalah alumni UKM yang memegang Ijazah Sarjana Undang-Undang (Kepujian) Ijazah Doktor Falsafah Pengajian (PhD) (Kepujian) dalam Falsafah Pendidikan (Perkembangan Dewasa & Profesional) UKM.