Dekan Dan Para Penyelidik FKAB Menang Anugerah Toray

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 Jan 2016 – Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Prof Dato’ Dr Ir Abdul Wahab Mohammad bersama pasukannya telah memenangi Anugerah Toray melalui penyelidikan tentang Nanofiltration and Ultrafiltration Technologies for Water and Wastewater Treatment.

Projek penyelidikan yang dilakukan itu adalah menggunakan teknologi nanofiltration dan ultrafiltration untuk menyelesaikan masalah perawatan air untuk disalurkan kepada industri.

Prof Abdul Wahab berkata kajian yang telah dilakukan sejak 10 tahun lalu mendapat kerjasama daripada Indah Water Konsortium (IWK), Sime Darby dan KLK Oleochemicals.

“Semasa permohonan saya untuk anugerah ini, saya telah memberi penerangan tentang aspek-aspek asas yang kita kaji dalam penyelidikan tersebut seperti bagaimana kajian tersebut telah membantu menyelesaikan beberapa masalah industri kerana penyelidikan yang kita lakukan ini memfokuskan kepada industri.

“Kita telah lakukan projek ini di Cyberjaya. Kita telah kaji prestasi proses dan guna semula air yang diambil dari rumah. Kita gunakan teknologi ini untuk memperoleh air jernih untuk digunakan semula,” katanya kepada Portal Berita UKM di sini hari ini.

Beliau berkata antara kajian yang dilakukan untuk penyelidikan itu termasuklah proses dan kaedah penjimatan yang digunakan.

“Kita cadangkan penyelesaian kepada macam mana air yang menggunakan teknologi tersebut boleh digunakan untuk industri. Apabila air yang telah digunakan pergi ke longkang, kemudian pergi ke sungai dan akan menyebabkan sungai tercemar. Jadi kita kena buat lagi rawatan tambahan. Maka ini membazir masa,” katanya.

Katanya, beliau berharap supaya UKM dapat mencalonkan lebih ramai lagi pensyarah dan penyelidik bagi memberi saingan untuk merebut Anugerah Toray pada masa akan datang.

“Kita ada ramai pensyarah dan penyelidik yang berbakat besar dalam menjalankan penyelidikan. Harap UKM dapat menjadi platform dan kenal pasti penyelidikan  yang layak untuk diketengahkan di luar,” katanya.

Untuk Anugerah Toray 2015, lebih 20 penyelidik telah menghantar penyertaan tetapi hanya empat sahaja yang disenarai terpilih dan dua daripadanya telah dinobatkan sebagai pemenang.

Prof Abdul Wahab telah menerima anugerah tersebut bersama seorang penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada majlis penyampaian hadiah Ke 22   Malaysia Toray Science Foundation (MTSF), yang diadakan di Kuala Lumpur pada 24 November 2015.

Beliau dengan pasukannya iaitu Prof Ir Dr Siti Rozaimah Sheikh Abdullah (UKM), Prof Madya Dr In Nurul Hasyimah Mohd Amin (MICET, UniKL) dan Dr Hassimi Abu Hasan (UKM) telah menerima sijil dan wang tunai bernilai RM30,000.

Prof Dato’ Abdul Wahab merupakan kakitangan UKM yang ketiga menerima anugerah itu selepas Professor Emeritus Dato’ Dr Abdul Latif  Mohamad pada tahun 1996 dan Prof Dato’ Dr Roslan Abdul Shukor pada tahun 2005.

TMSF merupakan sebahagian daripada yayasan yang diasaskan di Jepun dan dibiayai secara langsung oleh Toray Science Foundation of Japan untuk mempromosikan sains dan teknologi dengan menyokong usaha yang dijalankan oleh ahli sains, penyelidik muda dan pensyarah dalam bidang sains.

Anugerah ini telah ditubuhkan pada tahun 1994 dan menarik perhatian seluruh dunia, yang melibatkan tiga program tahunan iaitu Anugerah Sains dan Teknologi, Sains dan Geran Penyelidikan dan Pendidikan Sains.ukmnewsportal-bm
02

03