Dokumen Daftar Risiko Kebangsaan Dibangunkan untuk Kesedaran Orang Awam

Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 22 Oktober 2021 – Dokumen Daftar Risiko Kebangsaan (NRR) yang dibangunkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI-UKM) akan memberi kesedaran dan kefahaman kepada orang awam mengenai risiko bencana yang terdapat di Malaysia, kata Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata NRR adalah usaha yang baik dalam menyedarkan Keluarga Malaysia tentang pengurusan bencana yang telah dilaksanakan di negara ini, jenis bencana sedia ada dan tindakan susulan yang boleh dijadikan rujukan.

“Dokumen berkenaan juga boleh digunakan untuk tujuan kajian perancangan dan pemetaan, pemantauan, sistem ramalan awal, pencegahan, mitigasi dan strategi pengurangan risiko,” katanya ketika melancarkan webinar Risiko Bencana di Era Perubahan Iklim anjuran Nadma, semalam.

Dokumen yang disediakan dengan kerjasama rakan strategik Nadma SEADPRI-UKM itu akan dilancarkan Perdana Menteri pada Khamis depan.

Perdana Menteri berkata strategi, pelan tindakan dan program pengurangan risiko bencana yang dibangunkan perlu mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana dalam semua sektor, selain koheren instrumen global antaranya Perjanjian Paris untuk mencapai aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Dalam mendepani risiko bencana, kesejahteraan Keluarga Malaysia merupakan prasyarat utama, kita menyasarkan rakyat sentiasa peka terhadap risiko bencana, mempunyai daya tahan dan berkebolehan mengadaptasi keadaan bencana dalam era perubahan iklim ini,” katanya.

“Kerajaan memandang serius impak perubahan iklim dan peningkatan kesan bencana pada masa akan datang dengan mengambil kira Human Cost of Disasters 2000-2019 oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR).

“Ini ditekankan dalam Strategi Utama Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) iaitu untuk meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana ke arah melestarikan agenda pertumbuhan hijau negara,” katanya.

Katanya, impak bencana seperti banjir, tsunami dan pandemik Covid-19 tidak dapat dielakkan, namun boleh dikurangkan melalui inisiatif Pengurangan Risiko Bencana (DRR) dan melihatnya sebagai satu peluang untuk lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi bencana pada masa depan.