Dr. Masliza Mahu Tingkatkan Penyelidikan Bidang Kardiovaskular di Malaysia


Oleh Asmahanim Amir
Gambar dari Dr. Masliza Mahmod

BANGI, 27 Julai 2020 – Alumni Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Masliza Mahmod yang dilantik sebagai Profesor Madya di Universiti Oxford, United Kingdom (UK) mahu meningkat dan menguatkan penyelidikan bidang kardiovaskular di Malaysia.

Beliau yang ditemu bual secara eksklusif oleh Portal Berita UKM berkata, ketika ini beliau dan pasukannya sedang menjalankan penyelidikan dalam bidang perubatan jantung dengan pakar-pakar dari seluruh dunia.

“Saya berada di Universiti Oxford untuk menjalankan pelbagai projek dan kajian perubatan yang bukan hanya memberi manfaat kepada para pesakit di UK sahaja, tetapi InsyaAllah hasilnya nanti boleh dinikmati dan dirasakan oleh masyarakat antarabangsa termasuk di Malaysia,” katanya.

Katanya, beliau sangat berharap supaya ramai penyelidik dan doktor yang akan bersama-samanya untuk membina dan menguatkan lagi bidang kardiovaskular serta menambah baik bidang penyelidikan itu di Malaysia. 

“Buat masa ini saya sedang berusaha untuk mendapatkan doktor-doktor atau saintis dari UKM atau mana-mana institut di Malaysia untuk bekerjasama dengan saya.

“Saya sangat bersyukur sebab salah seorang dari pensyarah UKM sudah pun mendapat tempat bagi menjalani PhD (Ijazah Doktor Falsafah) di Oxford dibawah penyeliaan saya. Saya harap doktor-daktor lain akan lebih bersemangat dengan kejayaan beliau,” ujarnya.

Dr. Masliza berkata, beliau bercita-cita untuk melakar sejarah dalam menaikkan nama Malaysia di mata dunia dalam bidang akademik.

“Saya juga mahu Universiti Oxford dan UKM bekerjasama dalam bidang ini (kardiovaskular) dalam memberi peluang kepada penyelidik untuk menjalani latihan atau PhD di sini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada doktor-doktor muda supaya sentiasa yakin dan berani mengambil cabaran.

“Kejayaan boleh dicapai tidak mengira bangsa, agama, asal usul ataupun negara, asalkan kita fokus, ikhlas, tabah, bersungguh-sungguh dan bukan kerana nama. 

“Kita kena jadi masyarakat yang competitive dan setara dengan bangsa lain. Yang penting setinggi mana pun ilmu, ada orang lain yang mempunyai ilmu yang lebih tinggi dari kita. Oleh itu, jangan meninggi diri,” katanya. 

Selain dari dilantik sebagai Profesor Madya, Dr Masliza kini mengetuai Kumpulan Penyelidikan Klinikal dan menjadi Pakar Perunding Imbasan Kardiologi di Pusat Penyelidikan Resonans Magnetik Klinikal (OCMR), Bahagian Perubatan Kardiovaskular, Universiti Oxford, United Kingdom.