Dukung Perjuangan Asal Penubuhan UKM – Canselor UKM


Oleh
Muhammad Zaim Badrul Hisham
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 10 November 2018 – Para cendekiawan perlu sentiasa bermuhasabah dan menyedari tujuan sebenar penerokaan ilmu, titah Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

“Sesuai dengan peranan sebagai sebuah universiti kebangsaan, Beta berharap setiap warga universiti secara sedar mendukung perjuangan asal penubuhan universiti ini, iaitu untuk memperjuangkan aspirasi kebangsaan dan memupuk semangat kenegaraan kental dalam jiwa rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Masyarakat dan negara meletakkan harapan yang tinggi kepada para ilmuwan dan pelajar di universiti, apatah lagi UKM, untuk menjadi penyumbang keutuhan negara ini, dalam semua dimensi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa Majlis Konvokesyen ke-46 UKM yang berlangsung di sini, hari ini.

Dalam titah ucapannya, baginda telah menzahirkan rasa gembira terhadap UKM kerana sentiasa menawarkan nilai bertahap tinggi  dalam penyelidikan yang berfokus kepada cabaran dan isu semasa sama ada bersifat lokal mahupun global.

Baginda turut menyatakan rasa bangga terhadap kejayaan para graduan yang telah menamatkan pengajian di UKM.

“Tidak ada yang lebih membanggakan Beta, melainkan melihat alumni UKM terus peduli, berbakti dan berjasa kepada masyarakat, negara dan dunia sejagat dengan penuh hikmah dan berintegriti,” ujar baginda.

Sejumlah 7,021 graduan bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UKM ke-46 tahun ini.