e-PERMAI 2021 Beri Pengalaman Pembelajaran Berteraskan Penyelidikan


Oleh Nur Batrisyia
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 29 Julai 2021 – Persidangan Mahasiswa Pengajian Islam (e-PERMAI) 2021 yang dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dapat memberi pengalaman pembelajaran berteraskan penyelidikan, kata Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim.

Beliau berkata persidangan seumpama itu yang melibatkan pelajar sebagai penulis dan pembentang kertas adalah amalan pembelajaran berimpak tinggi yang telah disarankan oleh kerangka pendidikan tinggi negara.

“Persidangan ini merupakan sebahagian aktiviti pembelajaran bagi menyokong khusus latihan ilmiah atau projek tahun akhir kepada pelajar pengajian Islam.

“Saya percaya program sebegini juga akan dapat memberi pengalaman pembelajaran yang berselitkan penyelidikan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Persidangan Mahasiswa Pengajian Islam (e-PERMAI) 2021.

Katanya, UKM sebagai universiti penyelidikan sangat menggalakkan usaha-usaha sebegini kerana ia sejajar dengan langkah hala tuju universiti di bawah lima nilai utama UKM yang dikenali sebagai TERAS yang merangkumi Talent (Bakat), Ethics (Etika), Revitalise (Memperkasa), Agile (Tangkas) dan Soul (Jiwa) dan lima kebitaraan utama iaitu watan, I-Minda, holistik, digital dan prihatin.

Sementara itu, Pengerusi Persidangan Mahasiswa FPI e-PERMAI, Dr. Haziyah Hussin berkata FPI merancang untuk memperluaskan lagi penyertaan e-PERMAI pada masa akan datang dan akan dibuka kepada pelajar-pelajar Pengajian Islam dari universiti yang lain.

Beliau berkata pada kali ini terdapat 40 penyertaan telah diterima termasuk daripada pelajar separuh masa dan sebahagian besar pelajar-pelajar tahun akhir sudah membentangkan hasil kajian mereka dalam kolokium yang telah dianjurkan oleh program masing-masing pada bulan Mei sehingga awal bulan yang lalu.

Selain itu, katanya, 40 kertas kerja tersebut telah dinilai oleh jawatankuasa yang terdiri daripada 10 orang panel bagi menentukan kertas kerja terbaik dalam tiga kategori iaitu Anugerah Emas, Anugerah Perak, Anugerah Gangsa serta Anugerah Kertas Kerja Terbaik Keseluruhan.

Seramai sembilan orang mahasiswa telah mendapat Anugerah Emas, manakala 15 peserta menerima Anugerah Perak dan 16 peserta menerima Anugerah Gangsa.

Anugerah Kertas Kerja Terbaik Keseluruhan pula telah diberikan kepada Nurul Hidayah Haslihuddin daripada Program Pengajian Al-Quran & Al-Sunnah dibawah seliaan Dr. Mohd Faizulamri Mohd Saad.

Majlis yang diadakan secara dalam talian melalui platform Zoom turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Kembangan Pendidikan UKM, Prof. Madya Dato’ Dr. Muhammad Hussin dan Dekan FPI Prof. Madya Dr. Ahmad Sunawari Long.