Ekspo Kerjaya dan Keusahawanan Buka Peluang Pekerjaan kepada Mahasiswa UKM


Oleh Azril Izzat Ramlan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 22 Jun 2022 Ekspo Kerjaya dan Keusahawanan 2022 (CEE) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan lebih 1000 peluang pekerjaan dan peluang untuk menjalani latihan industri kepada pelajar UKM.

Ekspo yang berlangsung selama dua hari tersebut menghimpunkan lebih 50 majikan serta syarikat dari pelbagai bidang selain barisan penaja ternama terdiri daripada Maybank dan Talentbank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Syarikat Finexus dan Nestle.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, program ini merupakan satu platform yang baik kepada pelajar dan graduan untuk berinteraksi dengan industri bagi mendapatkan peluang pekerjaan.

“Penganjuran program ini membolehkan pelajar merancang hala tuju kerjaya bagi memudahkan graduan mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan.

“Pelajar juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai keperluan pasaran pekerjaan selain mendapat info secara terus dengan syarikat-syarikat yang terlibat,” katanya.

Tambahnya, UKM berada pada landasan yang tepat dalam memastikan para graduan sentiasa kompeten dan berkemahiran untuk memenuhi permintaan dalam pasaran pekerjaan.

“Kebolehpasaran graduan UKM menjadi fokus utama universiti dengan memperkukuh dan meneroka peluang kerjaya baharu dengan mengubah suai kurikulum sedia ada serta mempelbagai program sokongan pembangunan kerjaya masa hadapan dalam melahirkan graduan yang holistik dan dinamik.

“UKM juga telah merangka Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2022–2025 selaras dengan keperluan TERAS UKM untuk mempersiapkan pelajar yang dapat memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan pada masa hadapan yang berorientasikan teknologi 4IR,” katanya.

Program ini merupakan anjuran bersama Pusat Pembangunan Karier (UKM-KARIER), Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED), Pusat Perhubungan Alumni dan Pusat Perhubungan Industri.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin dan Pengarah UKM-KARIER, Prof. Madya Dr. Salleh Amat.