Fakulti Pendidikan Lantik Dua Tokoh Cemerlang Sebagai Profesor Adjung


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 23 Mac 2021 – Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melantik dua tokoh cemerlang dalam akademik, profesionalisme, tadbir urus institusi, jaringan dan khidmat masyarakat sebagai Profesor Anjung bagi memperkasa dan memperkukuhkan kebitaraan fakulti.

Kedua-dua tokoh itu ialah Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Datuk Dr. Yasmin Hussain.

Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pengerusi IIUM Medical Specialist Centre dan Timbalan Pengerusi IIUM Holdings Sdn. Bhd.

Beliau yang merupakan Alumni UKM juga aktif memimpin dan menerajui Pertubuhan seperti Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Malaysia, Yang Di-Pertua MUBARAK Negeri Pahang, Yang Di-Pertua Persatuan Kebajikan Anak – Anak Pahang Di Ibu Kota (PEKAP) dan Pengerusi Riding for The Disabled Association Malaysia (RDA).

Manakala Datuk Dr. Yasmin pula mempunyai pengalaman yang luas sebagai pentadbir, antaranya Ketua Jabatan Pendidikan Khas di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, Pengarah Southeast Asian Ministers of Education Organization for Special Education (SEAMEO SEN), dan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau juga merupakan Penasihat Kehormat NASOM, Penaung Persatuan Insan Berkeperluan Khas, dan Penaung Persatuan anak-anak pelbagai kecacatan. Untuk terus aktif dalam dunia pendidikan, beliau telah membuka TASKA IKHLAS (OKU) dengan geran daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta dilantik menjadi Pensyarah Kanan bertaraf Profesor di City University, PJ dalam bidang Pendidikan Awal Kanak Kanak.

Menurut Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, pelantikan kedua-dua tokoh itu mampu menyumbang kepakaran dan pengalaman dalam bitara masing-masing yang berimpak tinggi kepada negara, UKM dan Fakulti Pendidikan.

“Pelantikan ini juga dijangka akan menyemarakkan semangat dan motivasi para ahli akademik UKM untuk mengekal dan terus memacu kecemerlangan akademik di universiti kebangsaan ini,” ujarnya.

Katanya, dengan latar belakang yang cemerlang dan gemilang, besar harapan UKM agar kedua-dua penyandang Profesor Adjung itu akan dapat menitipkan sebanyak mungkin pengalaman yang ada serta berkongsi intelektual bagi pembangunan penyelidikan, sumber manusia, mahasiswa dan penerbitan UKM pada masa akan datang.