Fakulti Pendidikan Terima Anugerah ‘Apple Teacher’


Oleh Santhiyah Chandran
Foto Izwan Azman

Bangi, 27 Ogos 2021 –Fakulti Pendidikan (FPEND) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diiktiraf sebagai penerima Anugerah Antarabangsa Apple Teacher pada Majlis Perasmian Pendigitalan Pendidikan Fakulti Pendidikan UKM, baru-baru ini.

Hampir kesemua ahli pengurusan tertinggi FPEND yang terdiri daripada dekan, timbalan dekan, pengerusi pusat kajian dan penolong dekan serta seramai 18 orang pensyarah dari fakulti yang sama telah diiktiraf sebagai Apple Teacher pada tahun ini.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran sembilan ruang pembelajaran futuristik FPEND dan program #CikguCikguUKM Musim 4.

Ruang-ruang pembelajaran futuristik tersebut direka bentuk dan dibangunkan dengan mengintegrasi konsep yang penting untuk pembelajaran berdasarkan Kerangka Higher Education Active Learning Spaces (HEALS).

Naib Canselor UKM Prof Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman menyatakan rasa bangga kerana hasrat ini direalisasikan dengan kerjasama strategik Fakulti Pendidikan bersama pihak Apple (Malaysia) dan Switch Malaysia.

Katanya, UKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama ini dan berharap ia dapat diperluaskan dalam pelbagai bidang.

“Majlis ini merupakan suatu inisiatif untuk meneraju dan memacu pendigitalan pendidikan UKM selari dengan lembayung TERAS UKM yang menegaskan nilai kebitaraan dan prakarsa digital merangkumi infrastruktur dan infostruktur, pedagogi dan ekologi, pembudayaan, kelestarian dan governan bagi pendidikan digital dan futuristik.

“Proses pembelajaran dan pengajaran pula menerapkan pendekatan pedagogi aktif dan terkehadapan bagi penumpuan aspek pedagogi digital, ekologi pembelajaran dan teknologi yang akan menjurus kepada visi universiti yang beraspirasi menjadi universiti yang mendahului zaman,” tambah beliau.

Beliau juga berharap program seumpama ini dapat menjadi salah satu pemangkin agar FPEND terus mengungguli penyelidikan dan teknologi pendidikan yang bertaraf antarabangsa.