Fakulti Perubatan UKM Lahirkan Lebih 10,000 Doktor Perubatan Sejak 48 Tahun Penubuhannya


Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 4 Jun 2020 – Sejak ditubuhkan 48 tahun lepas, Fakulti Perubatan (FPER) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengeluarkan kira-kira 10,000 doktor perubatan dan 3,000 doktor pakar yang telah membantu Malaysia dan negara-negara serantau dalam bidang perubatan.

UKM turut mengeluarkan ramai doktor yang pada hari ini banyak mencipta sejarah dalam membantu negara malah membina nama di mata dunia. Antarannya ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah yang saban hari muncul di televisyen menyampaikan status terkini pandemik COVID-19 dan pakar-pakar perubatan lain.

Jika dilihat pada kedudukan QS World Universiti Rankings, FPER UKM berada pada kedudukan ke 250 hingga 300 universiti terbaik dunia dan ini adalah pencapaian yang baik dalam memastikan nama UKM sentiasa berada persada dunia.

Dekan FPER terawal, Dato’ Dr Amir Abas berkata, sewaktu penubuhan FPER pejabat dan semua kerja serta persediaan dilakukan dari rumah.

“Malah ketika itu tenaga pengajar (pensyarah) yang datang dari luar negara juga boleh berbahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau turut menceritkan kepayahan seorang pensyarah dalam menyelaraskan bahasa Inggeris, bahasa Indonesia dan istilah-istilah baharu dalam sesi pengajaran pada ketika itu.

“Tenaga pengajar ketika itu banyak mengikhlaskan diri dengan mengorbankan masa dan tenaga bagi mencurahkan ilmu yang berkualiti kepada pelajar-pelajar perubatan,” katanya.

Beiau berkata demikian semasa Program Bicara Jubli Emas Siri Kedua bertajuk UKM Nadi Perkembangan Perubatan Negara, di mana FPER UKM mula berkembang sejak tahun 1972 sehingga ke hari ini.

Bicara Jubli Emas Siri Kedua telah membawa ahli panel yang banyak menyumbang dalam membangunkan FPER UKM. Selain Dato’ Dr. Amir Abas, ahli panel yang lain ialah Dato’ Dr Siti Subzah Mohd Hashim,  Dato’ Dr Mahmud Mohd. Nor, Prof Datuk A. Rahman A. Jamal dan  Dato’ Dr Haron Ahmad.

Sementara itu, Pakar Bedah KPJ Damansara, Prof Dato’ Dr Haron berkata, selepas berdekad membawa nama UKM dibahunya, beliau berpindah ke KPJ namun berdasarkan pengalamannya di KPJ sehingga ke hari ini, pakar-pakar dan doktor-doktor di KPJ hampir 60 peratus adalah daripada UKM.

“Berada di KPJ sama seperti berada di UKM. Ramai graduan UKM kini berkhidmat di KPJ,” jelas beliau salah seorang bekas pelajar perubatan UKM kumpulan pertama pada tahun 1972.

Selain itu, Dekan kelima FPER berkata, Dato’ Dr Mahmud, sebuah buku berjudul A Breif History of The Faculty Of Medicine UKM sedang ditulis dan akan diterbitkan pada 4 Jun 2022 sempena 50 tahun Fakulti Perubatan UKM.

“Apabila terbitnya buku ini, orang ramai atau umumnya warga UKM akan lebih mengenali sejarah penubuhan FPER UKM,” katanya.

Pro-Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur, Prof Datuk A. Rahman yang juga pengasas kepada Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI) berkata di peringkat awal penubuhan FPER, dekan-dekan banyak memfokuskan kepada program siswazah dan memantapkan kurikulum.

“Semasa saya menjadi pelajar dan kemudiannya pensyarah, saya tidak akan melupakan tiga insan yang banyak berjasa kepada UKM iaitu Prof Dato’ Dr Khalid Kadir, Prof Dato’ Dr Khalid Yusof dan juga Prof Dato’ Dr Nafisah Adeeb kerana saya merasakan ketika itulah konsolidasi FPERUKM semakin melonjak naik dalam penyelidikan dari segi prasarana, governans, dan kewangan,” kata Prof. Datuk A. Rahman yang juga pensyarah dalam bidang Paediatrik Onkologi, Haematologi dan Molekular Biologi.

Beliau juga menjelaskan, bahawa sepanjang tempoh pembangunan UKM, banyak infrastuktur dan dana diagihkan dalam membangunkan dan memantapkan lagi pusat penyelidikan bagi pusat perubatan sehingga tertubuhnya UMBI.

Ketua Perkhidmatan dan Pakar ENT Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dato’ Dr Siti Subzah pula berkata, UKM telah memberi enormous amount of life changing event untuk sama-sama menjadi warga kesihatan sama ada di KKM mahupun di institusi swasta dan universiti.

“Perkhidmatan Public Health Malaysia berdasarkan statistik World Health Organization (WHO) adalah antrara sistem kesihatan yang terbaik dari segi kualiti dan mempunyai harga yang mampu dibayar oleh rakyat,” katanya.