Fakulti Perubatan UKM Rai Jubli Emas


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

CHERAS, 30 Mei 2022 – Sejak penubuhannya lima dekad lalu, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia mengalami evolusi seiring dengan perubahan masa untuk mencapai matlamat jangka panjang memberi pendidikan dalam profesional perubatan dan perkhidmatan bermutu tinggi.

Dekan Fakulti Perubatan Prof Dr Halim Abdul Ghafor berkata tempoh 50 tahun merupakan satu tempoh yang mematangkan Fakulti Perubatan sebagai hab akademik perubatan (pengajaran dan pembelajaran) yang terkehadapan dan berdaya saing.

“Buktinya, dalam era COVID-19 ini pakar-pakar dan doktor Fakulti Perubatan telah memberikan perkhidmatan yang tertinggi untuk menyelamatkan rakyat di negara kita.

“Fakulti Perubatan juga telah meningkatkan kualiti dan kuantiti dalam penerbitan berimpak tinggi.

“Ini menunjukkan bahawa Fakulti ini bukan hanya menjadi hab akademik perubatan tetapi adalah sebuah gedung ilmu yang melahirkan pemimpin tersohor dalam bidang perubatan, klinikal mahupun pra-klinikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Jubli Emas ke-50 tahun Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Auditorium, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak di Auditorium, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad menyeru para penyelidik Fakulti untuk merangsang minda dan bagi menghasilkan lebih banyak idea dan kolaborasi penyelidikan.

“Pencapaian Fakulti terkini di dalam penerbitan bagi tahun 2022 di dalam Jurnal Terindeks setakat 30 Mac 2022 adalah sebanyak 132 penerbitan dimana 94 daripadanya diterbitkan didalam jurnal terindeks Quartile 1 manakala 80 artikel diterbitkan didalam jurnal terindeks Quartile 2.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Fakulti Perubatan berjaya mencapai peningkatan sehingga 64% dalam penerbitan artikel di dalam Jurnal Terindeks berkuartil satu dan dua.

“Bagi pencapaian Geran Luar, Fakulti juga telah menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun. Pencapaian terkini sebanyak RM223,000 bagi Geran Antarabangsa manakala sebanyak RM400,000 bagi Geran Industri,” katanya.,” katanya.

Dalam majlis yang sama, dua buku iaitu biografi Datuk Dr Amir Abbas dan Sejarah Fakulti Perubatan UKM turut dilancarkan.