FEP Anjur Majlis Apresiasi Raikan Rakan Industri


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 8 Januari 2020 – Buat julung kalinya, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), mengadakan satu Majlis Apresiasi bagi meraikan rakan-rakan industri yang telah banyak memberi sumbangan kepada UKM.

Majlis tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada rakan industri yang banyak membantu pembangunan FEP dan UKM dalam pelbagai bidang seperti pengajaran, penyelidikan, khidmat komuniti dan industri serta pembiayaan pelajar, penyelidikan dan prasarana.  

Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, majlis itu merupakan satu inisiatif untuk menemukan kesemua rakan industri FEP yang telah memberi sumbangan yang amat berharga sepanjang tahun 2019 kepada UKM, contohnya dalam aspek pembelajaran dan pengajaran.

Katanya, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga telah bekerjasama dengan HSBC bank bersama-sama dengan FEP dan UKM dalam membangunkan program pendidikan dan penyelidikan kewangan untuk pelajar UKM.

Selain itu, katanya UKM turut menjalin kerjsama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) melalui program Eco-Home Village Resort bagi membangunkan sosio-ekonomi masyarakat orang asli suku Temuan di Kampung Kachau Luar, Selangor.

Dalam pada itu, UKM juga turut memenangi Anugerah Kolaborasi Terbaik Universiti di peringkat kebangsaan pada Majlis Kolaborasi AKPK 2019.

“Saya selaku wakil UKM, berterima kasih kepada semua industri yang telah banyak membantu dalam semua aspek termasuk proses pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, khidmat komuniti dan pendanaan,” katanya.

Majlis Apresiasi tersebut dihadiri oleh seramai 43 orang dari lebih 30 buah syarikat, antaranya Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), TalentCorp, ACCA Malaysia Sdn. Bhd dan Malaysia Economic Development Berhad.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah dan Dekan FEPUKM, Prof Dr Norman Mohd Saleh.