FEP Peroleh Geran Penyelidikan Bernilai RM3.6 Juta

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 18 Jan 2016 – Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memperoleh sejumlah geran penyelidikan bernilai RM6.3 juta bagi 132 program penyelidikan setakat ini daripada pelbagai pihak sama ada dari dalam dan luar negara  dengan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata ahli fakulti telah terlibat dalam penyelidikan berkaitan bidang kewangan dan fiskal dan kewangan dan perbankan.

“FEP mempunyai kepakaran yang pelbagai dalam bidang ekonomi dan pengurusan yang boleh membantu Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dalam merealisasikan hasrat kerajaan dan negara.

“Buat masa ini, FEP mempunyai sembilan kumpulan penyelidik yang antaranya adalah kumpulan penyelidikan perdagangan antarabangsa dan industri, pembangunan dan pengurusan sumber manusia, pembangunan ekonomi dan komuniti, ekonomi Islam dan muamalat, pengguna dan penggunaan akauntabiliti dan kewangan pengurusan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan kementerian Kewangan di sini pada 13 Jan lalu.

Beliau berkata penyelidikan FEP yang menyerlah telah menarik minat beberapa agensi untuk menaja kursi penyelidikan termasuklah kursi penyelidikan Malaysian Palm Oil Board (MPOB) dan Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali Berdaftar (YTI).

“Kewujudan kursi ini mempertingkatkan lagi keupayaan ahli fakulti dalam penyelidikan yang membantu menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial,” katanya.

Prof Noor Azlan berkata kerjasama antara UKM dengan MOF akan membuka ruang yang besar kepada kedua-dua belah pihak untuk mengoptimumkan sumber dalam menghasilkan output dalam bentuk dasar yang lebih realistik dan praktikal.

“Saya percaya kerjasama ini akan mempertingkatkan lagi keupayaan fakulti dalam memberi cadangan dasar yang mencakupi ruang lingkup yang lebih besar selain teori akademik semata-mata. Saya juga yakin gandingan ini akan memberi manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak termasuklah bidang penyelidikan, latihan, penerbitan, penyertaan seminar dan perkongsian ilmu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata MoU tersebut adalah yang julung kali dibuat oleh MOF bersama institusi pengajian tinggi.

“Ini kali pertama kita adakan MoU dengan pihak universiti. Jadi, saya harap MOU ini akan dapat diteruskan bersama universiti lain juga kerana terdapat banyak bahagian yang boleh kita teroka dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya kerjasama strategik tersebut, beliau berharap ia akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak secara khusus dan memberi manfaat kepada negara secara amnnya.

Antara bidang yang akan difokuskan melalui kerjasama ini adalah perbincangan bersama bagi merangka bajet tahunan terutamanya kumpulan fokus dan pembinaan kapasiti seperti pengenalan kaedah ekonometrik kepada pegawai-pegawai baru di MOF.

Selain itu penglibatan secara bersama dalam persidangan berkaitan ekonomi dan kewangan serta perkongsian maklumat dari sudut makroekonomi dan mikroekonomi juga akan turut ditekankan sepanjang kerjasama ini berlangsung.ukmnewsportal-bm
02

03

04